Shafie beri bayangan Warisan bertanding di Kimanis

Shafie beri bayangan Warisan bertanding di Kimanis

Warisan meletakkan calon di kerusi Parlimen itu pada PRU-14.

Presiden Warisan, Shafie Apdal.
KOTA KINABALU:
Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata satu mesyuarat akan diadakan bersama rakan gabungan sebelum keputusan dibuat mengenai calon pilihan raya kecil Kimanis, memberi bayangan calon Warisan akan bersaing untuk kerusi itu.

Ini kerana calon Warisan bertanding kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas, katanya.

“Bila kita letak calon sesuatu yang tidak diingini berlaku dan Alhamdulillah mahkamah membuat keputusan tepat.

“Tetapi kita perlu merayu kepada pengundi-pengundi khususnya di Kimanis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerusi Parlimen itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos yang mengisytiharkan kemenangan Anifah Aman pada PRU-14 batal dan tak sah.

Mahkamah Pilihan Raya bersetuju dengan pempetisyen, Karim Bujang dari Warisan, bahawa terdapat salah laku di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menangani Borang 13 dan 14 yang memberi kesan pada kira-kira 341 undi.

Mahkamah membersihkan Anifah daripada dakwaan rasuah.

Shafie yakin akan dapat sokongan rakyat, tetapi mengingatkan partinya jangan alpa.

“Baru-baru ini saya pun membuat lawatan ke tempat itu dah kita bawa sedikit inisiatif untuk kilang perabot di kawasan itu dan beberapa inisiatif insya-Allah kita akan realisasikan.

“Apa yang penting saya berharap kita perlu membuat persediaan anggota parti kita khususnya Warisan dan komponen PPBM Sabah, PKR, DAP serta Upko,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.