
Presiden RS Mohan Shah berkata lambang kepercayaan mereka bukan untuk dipermainkan, lebih lagi oleh seorang wakil rakyat.
“Semua lambang agama perlu dihormati oleh semua orang. Lambang keagamaan kami bukan untuk keseronokan,” katanya kepada FMT.
Tajuddin digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat selepas mempersoalkan jika “vibhuti” pada dahi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP ada kaitan dengan abu mayat bekas pemimpin komunis, Chin Peng.
Wakil rakyat Umno itu menimbulkan perkara itu ketika perbahasan bertukar kepada isu penahanan 12 individu yang didakwa ada kaitan dengan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Abu mayat Chin Peng menjadi perbualan selepas media melaporkan abu bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu dibawa masuk ke negara ini dan ditabur di laut berhampiran Lumut, Perak dan di banjaran Titiwangsa.
Dalam agama Hindu, vibhuti dihasilkan daripada kayu kering mengikut acara tertentu, dan penganutnya secara tradisi mencalitnya pada dahi atau bahagian tubuh bagi memuliakan dewanya.
Mohan berkata abu suci itu bukan abu daripada upacara kematian.
“Ahli politik terutamanya harus mempunyai pengetahuan tentang agama dan prinsipnya sebelum membuat komen pada masa akan datang,” katanya.
Beliau mengingatkan rakyat memilih ahli Parlimen untuk melakukan tugas-tugas wakil rakyat, bukannya mengharapkan mereka bertindak secara tidak peka.
“Tindakan tidak boleh diterima,” katanya.