
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mazlan Aliman berkata, kerajaan tidak boleh dipersalahkan dalam isu pemberian itu kerana agensi terlibat sudah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Biasanya taksiran itu tak kiralah siapa yang terkena musibah itu, diproses, diangkat dan mereka dapat (bantuan). Cuma dalam kes yang berlaku dengan timbalan ketua menteri itu, saya beranggapan ada orang yang lebih layak daripada dia.
“Sebab ia akan mengundang pertikaian umum. Pada saya kalau dah berstatus ahli Parlimen, Adun…ada orang lain lebih wajar terima.
“Bagi saya, individu itu sendiri. Kita boleh memilih untuk tolak, berilah kepada orang lain yang lebih layak. Kalau beri kepada saya, saya tolak sebab bagi saya ramai lagi golongan yang memerlukan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, senarai penerima bantuan yang turut menyenaraikan nama Madius tular di media sosial menyebabkan netizen mengkritiknya dengan sebahagian mereka berkata beliau tidak layak menerima bantuan itu kerana kedudukannya.
Madius sebelum ini memberitahu FMT bahawa beliau mempunyai tanah seluas 10 ekar di Tuaran dan memenuhi syarat penerima bantuan yang ditetapkan Lembaga Industri Getah Sabah.
Menurutnya, wang bantuan itu diberikan kepada sepupunya, Taimin Gindalan yang mengusahakan kebun getah tersebut.
Di Sabah, pekebun kecil getah yang memiliki kebun seluas 6 ekar atau kurang dan merupakan rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan monsun tanpa mengira kedudukan.
Dalam pada itu, Mazlan juga tidak menolak keperluan kementerian untuk melihat kembali kewajaran pemberian bantuan tersebut pada masa akan datang.
“Ya (kementerian perlu melihat kembali kewajaran penyaluran bantuan). Pada saya sepatutnya begitu.
“Contohnya taufan di utara, hanya mereka yang terlibat musibah akan dapat bantuan. Satu lagi proses, tentulah melihat kepada kewajaran itu diberikan.
“Jadi, kalau ada individu yang berstatus barangkali kehidupan mereka sudah stabil, saya tak fikir mereka akan dapat (bantuan), sebab tentunya ia akan mengundang kontroversi,” katanya.