Trump bayangkan perjanjian damai baru dengan Taliban

Trump bayangkan perjanjian damai baru dengan Taliban

Trump pada September mengisytiharkan rundingan damai dengan Taliban "terkubur" susulan serangan kumpulan itu ke atas Kabul.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar AP)
ANKARA:
Taliban berhasrat mencapai perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Donald Trump semalam ketika melakukan lawatan mengejut ke Afghanistan untuk meraikan Hari Kesyukuran bersama tentera Amerika, lapor agensi berita Turki, Anadolu memetik laporan The New York Times.

“Taliban ingin membuat perjanjian damai dan kami akan bertemu dengan mereka,” kata Trump dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Afghanistan, Presiden Ashraf Ghani semasa melawat Bagram Airfield.

Pada awal September, Trump mengisytiharkan rundingan damai dengan Taliban “terkubur” susulan serangan kumpulan itu ke atas ibu kota Kabul yang mengorbankan berpuluh-puluh orang termasuk seorang tentera AS.

Bercakap kepada tentera AS yang ditugaskan di Afghanistan, Trump mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan mereka.

Trump diiringi Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Stephanie Grisham; pemangku Ketua Turus Mick Mulvaney; Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien; Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Judd Deere; dan Senator John Barrasso.

Lawatan mengejut itu merupakan kunjungan pertama Trump ke Afghanistan dan yang kedua ke zon konflik, selepas lawatan ke Iraq tahun lepas sehari selepas Krismas.

Tahun lepas, Trump bercakap dengan tentera AS di Afghanistan pada Hari Kesyukuran melalui telefon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.