
Apabila kerajaan bercadang untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada pelajar seawal darjah enam, ramai ibu bapa meluahkan rasa bimbang mengenai perkara itu.
Ini kerana ada banyak hujah dan pendapat yang dilontarkan, antaranya terlalu awal pendidikan tersebut diajar dan ia sangat tidak munasabah.
Malah ibu bapa turut mendakwa banyak lagi maklumat lain yang lebih penting perlu diajar guru di sekolah selain daripada pendidikan seks.
Tidak kurang juga ada ibu bapa yang bimbang kanak-kanak ini mempraktikkan sesama rakan yang akhirnya menyumbang kepada gejala sosial yang keterlaluan.
Menurut Pakar Klinikal Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr. Lim Poh Khuen subjek ini bukan lagi perkara asing dan pihak bertanggungjawab perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Saya pernah berjumpa dengan kes-kes remaja yang telah dirogol oleh kawan atau ahli keluarga yang dikenali, ataupun ada yang melakukan perbuatan seks secara tidak rela tetapi takut untuk ‘reject’. Ini boleh membawa kesan kepada psikologi seperti stress, kemurungan, keresahan, dan post-traumatic stress disorder (PTSD),” katanya kepada FMT.
Dalam hal ini, kerajaan mempunyai alasan lebih kukuh iaitu ingin memberi maklumat lebih jelas mengenai pendidikan seks supaya remaja boleh berfikir dengan baik tentang kesan dan jenis penyakit yang boleh dihidapi mereka sekiranya ia tetap dilakukan.

Tindakan kerajaan ini bagi Lim sendiri yang menyatakan pelaksanaan tersebut adalah relevan.
“Darjah 6 adalah masa di mana kanak-kanak mencapai akil baligh. Mereka boleh didedahkan kepada cara untuk menjaga kebersihan diri. Pada masa inilah mereka perlu diajar tentang seks yang selamat, dan informasi yang asas berkenaan dengan kehamilan dan penyakit kelamin.
“Contohnya ada orang meminta gambar bogel, ada orang yang menggunakan perkataan lucah atau mengajak mereka untuk keluar bersendirian, mereka tahu apa yang harus dilakukan,” katanya lagi.
Ia berbeza dengan pelajar tingkatan lima di mana mereka sudah boleh berfikir dengan waras jika di bandingkan dengan pelajar darjah enam.
Menurut pakar, golongan ini lebih senang dipengaruhi, namun keadaan ini tidak akan berlaku jika mereka tahu kesan yang tidak baik perlu mereka berdepan pada jangka masa panjang.
“Untuk tingkatan lima, mereka adalah dalam golongan remaja. Mereka senang dipengaruhi oleh kawan-kawan. Pengetahuan seperti seks yang selamat perlu disarankan. Mereka juga perlu mengetahui tentang hubungan yang sihat dan yang tidak sihat. Ini termasuk membantu mereka untuk mengetahui apa yang betul dan salah, dan apa yang perlu dibuat.

“Ada yang bercinta dan melakukan seks atas paksaan dari teman mereka, dan rasa bersalah dan menyesal kemudian. Cara untuk melindungi diri dan membezakan yang betul dan salah perlu diberitahu. Selain itu, penyalahgunaan dadah dan minuman keras jugak boleh diberitahu kerana ia sering dikaitkan dengan perbuatan seks yang tidak diingini,” tambahnya.
Mengulas lanjut dari sudut perkembangan minda, Lim berkata terdapat perubahan hormon dan fisiologi yang boleh mempengaruhi keinginan mereka dalam nafsu seks, perbuatan seks dan cinta remaja.
“Untuk perkembangan otak umur 12 tahun, mereka sudah lebih mudah untuk memahami konsep berkenaan dengan pemikiran abstrak, fikiran untuk menyelesaikan masalah (problem-solving), dan kemahiran berfikir secara logik lebih senang. Mereka boleh memahami konsep pendidikan seks yang asas dengan mudah.
“Sekiranya pendidikan seks diberi dengan cara yang betul (kandungan yang sesuai, cikgu yang boleh menyampaikan mesej dengan tepat, ibu bapa yang tahu cara untuk bercakap dengan mereka berkenaan dengan topik seks), mereka mampu untuk memahami pendidikan seks,” katanya lagi.
Tambah Lim, sebenarnya pendedahan awal mengenai pendidikan seks memberi kesan positif kepada kanak-kanak dan ibu bapa perlu menerima hakikat ini.

Terdapat lebih banyak bukti hasil daripada kajian yang menunjukkan bahawa Pendidikan seks membawa kesan yang positif.
Ini termasuk peningkatan ilmu dan pengetahuan berkenaan dengan pelbagai aspek tentang seks, kelakuan seks dan risiko kehamilan atau HIV serta penyakit kelamin.
“Kajian juga menunjukkan bahawa Pendidikan seks tidak menyebabkan penambahan aktiviti seks, atau tindakan seks yang berisiko seperti ‘unprotected’ seks – contohnya tidak pakai kondom dan seks rambang atau ‘multiple partners’, serta peningkatan kadar penyakit kelamin (STD),” tambahnya lagi.
Antara kesan positif lain, seseorang individu menjadi lebih yakin serta mampu menjalani kehidupan dengan lebih sihat.

“Perbincangan tentang seks masih kurang dalam masyarakat kita. Kanak-kanak atau remaja sebenarnya menghabiskan banyak masa dengan ibu bapa mereka. Sebagai dewasa, persepsi dan penerimaan pendidikan seks adalah sangat penting bagi membantu mengurangkan halangan untuk kanak-kanak berbincang atau belajar tentang pendidikan seks.
“Kanak-kanak boleh lebih peka terhadap perubahan badan sendiri, dan lebih tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Kanak-kanak juga boleh diberitahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku sesuatu seperti telefon polis , talian kasih dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]