
Hilman berkata, perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap Pemuda PKR tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat sayap itu untuk melucutkan kuasa pengerusi dan timbalan pengerusi tetap.
Menurutnya, ini kerana pengerusi dan timbalan pengerusi tetap merupakan sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti seperti yang termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap Pemuda PKR dan Fasal 17 perlembagaan PKR.
“Surat setiausaha Pemuda PKR yang dangkal dan akal senteng cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan pelucutan tersebut dengan menyatakan Perkara 5.1 & 5.3 Peraturan Tetap Pemuda PKR dan menyembunyikan Perkara 5.2 dalam peraturan itu.
“Ini kerana Perkara 5.2 memperuntukkan “semua pemegang jawatan dalam Pemuda PKR adalah kekal sebagai anggota Pemuda PKR walaupun melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan pemegang jawatan baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam surat pemecatan bertarikh 27 November yang ditandatangani setiausaha pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab, Mizan dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad dilucutkan jawatan kerana ikatakan terdapat keraguan dalam pemilihan mereka sebelum ini.
Berdasarkan surat itu, pengiraan secara manual mendapati kedua-duanya mereka menerima jumlah undi yang lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.
Selain itu, isu berkenaan kelayakan umur turut dibangkitkan dalam surat berkenaan.
Menurut Hilman, fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanya seramai 270 orang, memperlihatkan kepimpinan Pemuda PKR lemah dan tidak tersusun.
Katanya lagi, Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap Pemuda PKR memperuntukkan seramai 7 orang perwakilan untuk setiap bahagian parti.
Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ia bermakna kongres hanya dihadiri kurang daripada 39 bahagian parti daripada jumlah 178 di seluruh negara.
“Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sudah disahkan dalam Kongres Nasional 2018. Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” katanya.
Tegas Hilman, beliau menggesa kepimpinan parti segera menarik semula surat pelucutan jawatan tersebut memandangkan ia dengan jelas melanggar peruntukan seperti yang termaktub dalam perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap Pemuda PKR.