Ketepi diskriminasi, pupuk kepelbagaian, kata pakar ekonomi

Ketepi diskriminasi, pupuk kepelbagaian, kata pakar ekonomi

Kasta, kepercayaan dan warna kulit adalah ciri yang tidak relevan sekiranya matlamatnya ialah kecekapan dan produktiviti.

Ketua penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar berkata, diskriminasi akan menghalang fungsi berkesan pasaran.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menggesa diketepikan semua bentuk amalan diskriminasi, sebaliknya mempromosi kepelbagaian dengan berkata, ia akan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik bakat demi kebaikan negara.

Ketua penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Shankaran Nambiar berkata, diskriminasi akan menghalang fungsi berkesan pasaran.

“Jika sebahagian daripada rakyat didiskriminasi, katakan atas alasan kaum, kumpulan itu akan terkeluar dari pasaran,” katanya kepada FMT.

Beliau memberikan contoh proses tender yang menyaksikan pembekal tertentu terkeluar kerana latar belakang kaum mereka dan berkata, keadaan ini mungkin bermakna mengeluarkan pembekal yang paling cekap dan berkesan dari segi kos.

“Diskriminasi tidak menyumbang kepada usaha mendapatkan hasil yang paling cekap,” katanya.

Beliau berkata, “kasta, kepercayaan dan warna kulit adalah ciri yang tidak relevan” sekiranya matlamatnya ialah kecekapan dan produktiviti.

Nambiar mengakui kebijaksanaan dasar yang bertujuan memberi sokongan kepada kumpulan masyarakat yang tertinggal, tetapi katanya, kriteria yang jelas perlu diwujudkan supaya mereka yang benar-benar memerlukan mendapat akses kepada peluang yang disediakan.

Beliau juga bercakap tentang diskriminasi berdasarkan gender dan orientasi seksual dengan berkata, pihak berkuasa di Singapura “tidak secara aktif memburu golongan gay di tempat -tempat kegemaran mereka”, walaupun negara itu mempunyai undang-undang yang menghukum seks sesama lelaki.

Katanya, ini mungkin disebabkan Singapura bergantung pada jumlah tenaga kerja yang besar dan berpengaruh yang menyumbang kepada ekonominya dan tidak mahu golongan ekspatriat berasa tidak selesa untuk bekerja dalam persekitaran yang menekan gaya hidup alternatif.

Beliau menggesa satu titik keseimbangan dicari antara sensitiviti domestik dengan kepelbagaian.

Katanya, kepelbagaian merupakan ciri yang dipupuk di negara maju bagi memastikan mereka terus berada di hadapan dalam bidang teknologi dan perniagaan.

“Berdepan dengan persaingan yang meningkat dalam teknologi, keperluan untuk menarik pelaburan serta usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menarik bagi menjadikan Malaysia sebuah hub global bakat dan kemahiran, maka diskriminasi perlu digantikan dengan kepelbagaian,” katanya.

“Bagimanapun ini tidak pula bermakna nilai, kepercayaan dan kecenderungan peribadi perlu diringankan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.