Program Sarapan Percuma dilaksana berperingkat, kata Maszlee

Program Sarapan Percuma dilaksana berperingkat, kata Maszlee

Menteri pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas pelaksana Program Sarapan Percuma didapati belum bersedia sepenuhnya.

Maszlee Malik berkata, menerusi Program Sarapan Percuma, murid sekolah rendah akan diajar cara pengurusan sisa makanan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, Program Sarapan Percuma (PSP) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan di sekolah yang mempunyai murid daripada keluarga berpendapatan rendah B40 teramai.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihak yang terbabit sebagai pelaksana PSP didapati belum bersedia sepenuhnya.

“Kementerian Pendidikan telah melakukan beberapa sesi libat urus, projek perintis yang dilakukan mendapati ketidaksediaan beberapa pihak pelaksana membabitkan pihak sekolah, kantin, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

“Oleh itu, Majlis Tindakan Ekonomi mencadangkan ia dilaksanakan secara bertahap. Fasa 1 di semua sekolah yang mana bilangan murid B40 yang ramai,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2020 kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Maszlee berkata, PSP ialah projek berskala besar yang bukan sekadar menyediakan makanan, sebaliknya turut membabitkan pendidikan mengurus sisa makanan dalam kalangan murid.

“Persediaan pihak kantin, sekolah dan PIBG amat diperlukan kerana kita tidak mahu ada pembaziran.

“Bukan saja makan, tetapi cara uruskan makanan, kita hendak latih juga murid-murid cara urus sisa makanan.”

Pada 9 Okt lalu, Maszlee mengumumkan kerajaan memperuntuk RM800 juta hingga RM1.6 bilion untuk PSP bagi 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun depan.

Katanya, peruntukan itu bergantung kepada kos pelaksanaan bagi 200 hari persekolahan sepanjang tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.