
Terdapat suatu isu timbul baru-baru ini yang menarik perhatian saya. Dalam Parlimen, Ahli Parlimen DAP Khoo Poay Tiong mencadangkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa anak-anak kita patut diajar semua sejarah kaum di Malaysia supaya lebih kita kenal-mengenali dan menghindari konflik agama dan kaum seperti meruncing masa kini.
Menteri menerima baik cadangan itu tetapi beliau mengingatkan Khoo bahawa semua cadangan perlu dibincang oleh pakar sejarah dalam jawatankuasa kurikulum sejarah. Saya dapat membaca bahawa menteri seolah-olah ‘menolak’ cadangan itu dengan cara beradab. Beberapa hari kemudian Maszlee Malik pula menyampuk perbincangan dengan menegaskan bahawa mereka yang tidak ada kepakaran dalam pendidikan seharusnya tidak masuk campur dalam hal pendidikan sekolah. Biarlah, kononnya pendidikan diserahkan bulat-bulat kepada cikgu dan pensyarah seperti beliau.
Saya sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan Maszlee dan saya akan jelaskan alasan saya.
Pertama sekali adalah persoalan apa itu ‘sejarah’? Umum mengetahui sejarah adalah pengajaran tentang perkara dan orang yang telah lepas dan tugasnya adalah memberi mesej tentang sesuatu ‘cerita’ seseorang tokoh atau sesuatu kejadian serta juga sesebuah negara. Setelah saya membaca banyak buku tentang metodologi penulisan sejarah atau historiografi, saya mendapati bahawa sejarah bukanlah suatu pengajian tentang perkara yang lepas tetapi ia juga adalah suatu penjelasan tentang apa yang penting masa kini dan masa hadapan.
Contohnya, siapa yang salah tentang kejadian berdarah 13 Mei? Kalau ada akademik Melayu, mungkin beliau salahkan orang bukan Melayu. Kalau sejarawan bukan Melayu pula beliau mungkin menyalahkan orang Melayu. Siapa yang benar? Yang benar sebenarnya adalah…kita semua tak tahu! Jadi, sejarah itu ditulis oleh seseorang penulis yang ingin membuat sesuatu naratif tersendiri untuk masa kini dan masa depan dan naratif inilah yang menentukan peristiwa apa yang dipilih dan interpretasi bagaimana yang boleh menjayakan naratif akhir niat si penulis. Maka itu, sejarah adalah suatu naratif yang dicipta untuk kebaikan masyarakat semua. Dalam hal 13 Mei, saya telah mencadangkan bahawa naratif 13 Mei adalah semua orang yang salah dan kita jangan lagi biarkan perkara ini berlaku dengan membuat refleksi semua kaum dan semua ahli politik.
Jadi, tidak salah Ahli Parlimen DAP membuat cadangan supaya naratifnya adalah kita semua hormat-menghormati dan tidak kegilaan melaung-laungkan agama dan kaum. Memang patut naratif sejarah ditentukan oleh orang politik, bukan ahli akademik. Saya kenal orang akademik. Pandangan orang akademik memang sempit untuk disiplin yang satu sahaja. Pandangan Ahli Parlimen seperlunya luas berbidang-bidang.
Perkara kedua adalah dengan kita menghormati semua sejarah dan warisan kaum di Malaysia, barulah kita akan kenal maka tercinta. Kalau naratif sejarah asyik fokus kepada satu kaum dan satu agama, nampak macam heronya satu kaum satu agama dan kaum serta agama lain hanya pelakon tambahan atau ‘extra’. Masyarakat Cina, contohnya menyumbang banyak bangunan sekolah, hospital dan juga dewan orang ramai. Kaum itu juga menyumbang pendidikan vernakular yang kalau tidak ada akan membebankan guru serta sekolah.
Kaum Iban, Kadazan, Bidayuh, Dayak semuanya ada warisan adat dan kepercayaan yang perlu kita tahu untuk kita hormati. Adakah kita nak panggil kita semua rakyat Malaysia tetapi tak kenal langsung sesama kaum sedikit-sebanyak untuk sapa apa khabar dalam bahasa masing-masing. Saya hanya tahu apa khabar, Assalamualaikum dan ‘How do you do’ untuk menyapa. Dalam bahasa lain saya tak tahu.
Ketiga, saya ingin mencadangkan kepada menteri tentang jawatankuasa sejarah yang dibanggai beliau. Rasa saya jawatankuasa itu perlu bukan saja sejarawan tetapi juga orang seni, orang sains politik dan orang daripada bidang falsafah. Sebabnya, sejarah adalah pendidikan asas selain agama yang menanam identiti serta nilai awal seseorang rakyat. Kalau sejarah itu mengajar bahawa hanya satu kaum sahaja spesial maka kaum lain jadi ‘second hand’ lah. Ini sebab bahawa pengerusi jawatankuasa perlu orang daripada bidang selain sejarah dan yang boleh melihat apa disebut sebagai sifat serta jiwa bina bangsa dan kekentalan identiti yang luas untuk asimilasi dan integrasi dalam rangka globalisasi juga.
Maka itu, saya amat menyokong cadangan Ahli Parlimen DAP tersebut supaya anak-anak kita mengenali lebih dekat semua warisan kita di Malaysia dan juga berharapan bahawa jawatankuasa sejarah di peringkat kementerian perlu dirombak semula. Biar sejarah kita bersifat luas dan lapang supaya ia tidak menyempit dan ‘mentempurungkan’ kita dalam naratif kecil dan terjerat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.