
Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Facebooknya berdasarkan kemas kini ranking terbaru hari ini.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Fifa, skuad negara menghuni tangga ke-154 dunia dengan mengumpul 1,040 mata.
Perkembangan positif ini susulan kejayaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menewaskan Tajikistan 1-0 pada perlawanan persahabatan, diikuti 2 kemenangan menentang Thailand (2-1) dan Indonesia (2-0) pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.
Jepun kekal pasukan nombor satu Asia apabila menduduki ranking ke-28 dunia, diikuti Iran (33) dan Korea Selatan (41).
Vietnam pula kekal mendahului carta Asia Tenggara pada kedudukan ke-94 dunia, disusuli Thailand (113), Filipina (124) dan Myanmar (136).
Negara Asia Tenggara lain seperti Singapura berada di tangga ke-157, Indonesia dan Kemboja (173), Laos (188), Brunei (191) serta Timor Leste (196).