Bekas menteri pertikai mahkamah tolak rayuan Musa berhubung lantikan ketua menteri Sabah

Bekas menteri pertikai mahkamah tolak rayuan Musa berhubung lantikan ketua menteri Sabah

Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat mahu hakim Mahkamah Rayuan yang arif membuat tafsiran Perlembagaan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan politik Sabah terus bergolak.

Abdul Rahman Dahlan berkata, proses pemecatan ketua menteri perlu sejajar semangat demokrasi dan ia tidak patut diputuskan gabenor negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menolak rayuan saman Musa Aman mencabar pelantikan Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah.

Walaupun menghormati keputusan mahkamah, tetapi beliau berkata, isunya bukan Shafie sudah mendapat sokongan Adun sekarang.

“Isu lebih besar dan signifikan yang perlu diputuskan Mahkamah Rayuan ialah apakah Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa untuk memecat seorang ketua menteri yang telah dilantik atau tidak.

“Rakyat mahu hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang arif membuat tafsiran Perlembagaan kerana kegagalan untuk membuat tafsiran itu akan menyebabkan politik Sabah sentiasa bergolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menolak rayuan saman Musa dan memerintahkan beliau membayar RM50,000 kepada Shafie dan RM20,000 kepada Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin, masing-masing sebagai responden kedua serta pertama.

Hakim Kamardin Hashim berkata, panel 3 hakim membenarkan bantahan awal selepas bersetuju dengan peguam Shafie yang kes itu ialah akademik.

Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad dilaporkan berkata, mereka kecewa dengan keputusan hari ini dan akan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Rahman berkata, beliau menghormati institusi istana, kehakiman dan tidak berniat menghina kedudukan gabenor.

Tetapi, katanya, proses pemecatan ketua menteri perlu sejajar semangat demokrasi dan ia tidak patut diputuskan gabenor negeri.

“Ia tidak sepatutnya diputuskan oleh Istana. Ia sepatutnya dikembalikan kepada Dewan Undangan Negeri, tempat suara keramat rakyat bersemayam,” katanya.

Pada 7 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman pemula difailkan Musa terhadap Juhar dan Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan Musa sebagai ketua menteri yang sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.