Akmal pertahan pemecatan pengerusi tetap, timbalan Pemuda PKR

Akmal pertahan pemecatan pengerusi tetap, timbalan Pemuda PKR

Ketua Pemuda PKR itu berkata, pemecatan 2 individu terbabit diputuskan Majlis Pimpinan sayap itu berdasarkan perlembagaan parti yang mewajibkan ahlinya berumur 35 tahun ke bawah.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir mempertahankan pemecatan Pengerusi Tetap sayap itu, Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad kerana peraturan parti perlu ditegakkan.

Katanya, pemecatan 2 individu itu dibuat Majlis Pimpinan Pemuda PKR berdasarkan perlembagaan parti yang mewajibkan ahli sayap berkenaan berusia 35 tahun ke bawah.

“Jadi, yang memegang jawatan dalam sayap Pemuda mestilah daripada sayap Pemuda itu sendiri,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

The Star hari ini melaporkan Pemuda PKR menghantar surat memaklumkan pemecatan Mizan dan Ramly kerana timbul keraguan terhadap pemilihan mereka.

Dalam surat bertarikh 27 Nov menyatakan parti itu menamatkan jawatan mereka kerana berusia lebih 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka lebih banyak daripada perwakilan yang hadir dalam Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lepas.

Surat itu ditandatangani Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Ditanya sama ada munasabah untuk memecat mereka yang dipilih ahli, Akmal berkata, munasabah jika terdapat kesilapan.

“Apabila kesilapan seperti ini berlaku, kepimpinan Pemuda perlu membuat keputusan demi parti dan Pemuda sendiri.

“Kena pastikan sayap Pemuda diketuai dan terdiri daripada ahli-ahli Pemuda,”

Terdahulu, Mizan dan Ramly dilaporkan berkata, tidak masuk akal mempersoalkan kedudukan serta undi diperolehi mereka selepas setahun Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung dan hanya beberapa hari lagi sebelum kongres tahun ini diadakan.

Kedua-dua individu itu dikatakan menyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.