Mempunyai kekurangan pada diri tidak semestinya membuatkan anda tidak boleh berjaya dalam hidup.

Ini kerana kekurangan itulah yang akan menjadikan pembakar semangat kepada diri anda untuk lebih cemerlang daripada orang lain.
Seperti Ratheka Mariappan, 27, beliau merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu, namun kini berkhidmat di salah sebuah kementerian.

Bercakap kepada FMT, beliau sebenarnya hampir putus asa kerana persepsi orang ramai yang tidak menerima OKU dalam bidang pekerjaan.
“Saya menjalani ujian seperti orang lain iaitu SPA (Sijil Perkhidmatan Awam) bagi menempatkan diri untuk bekerja dalam perkhidmatan kerajaan, kemudian saya berjaya dalam peperiksaan itu pada Februari tahun ini.

Ratheka merupakan pelajar jurusan perakaunan Fakulti Pengurusan di Universiti Multimedia di Cyberjaya dan dia juga seorang yang aktif dalam bidang sukan ketika di zaman persekolahan.
Namun segala usahanya tidak dipandang hanya kerana beliau seorang OKU pekak dan bisu.
Bagaimanapun selepas itu, Ratheeka dibantu syarikat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Make It Right Movement (MIRM) untuk mempertahankan hak yang sepatutnya diperoleh Ratheeka.

“Pada 2 Ogos lalu, mereka menempatkan saya dalam Kementerian Belia dan Sukan sebagai Penolong Pembantu Tadbir N29 dan saya telah pun buktikan bahawa saya boleh lakukannya yang terbaik, dan sebenarnya lebih daripada orang lain,” katanya dengan begitu penuh semangat.
Kerana kes Ratheka ini juga, akhirnya JPA telah mengeluarkan memo supaya laporan kesihatan OKU boleh diterima untuk pengambilan pekerja dalam perkhidmatan awam.
Menceritakan pengalaman sepanjang beberapa bulan ini bekerja di bawah KBS, Ratheka berkata ia pengalaman yang menyeronokkan meskipun berdepan dengan beberapa cabaran seperti masalah berkomunikasi dengan orang ramai.
“Saya akan bangun setiap hari jam 5 pagi, kemudian saya akan menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan saya akan sampai ke tempat kerja pada jam 7.30, terus boleh memulakan pekerjaan seperti biasa.
“Dulu saya memang rasa susah untuk bercakap dengan orang kerana saya tidak dengar dan faham apa yang mereka katakan. namun kini saya mempunyai kecekapan dalam memahami pergerakan bibir mulut orang ketika bercakap dan saya mahir dalam bahasa isyarat,” katanya lagi.

“Walaupun saya OKU, tapi saya ada impian iaitu ingin menjadi guru atau jururawat kerana sangat menyukiai mata pelajaran Matematik, lagipun saya juga pemegang ijazah bahagian perakaunan.
“Jika tidak, saya bersyukur sahaja dengan nikmat yang tuhan berikan sekarang dengan menjadikan diri saya sebagai inspirasi kepada orang lain untuk berjaya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]