Bekas presiden Majlis Peguam antara 15 pesuruhjaya kehakiman baru

Bekas presiden Majlis Peguam antara 15 pesuruhjaya kehakiman baru

Lima belas pesuruhjaya kehakiman baru itu terdiri daripada 10 peguam, 4 dari Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta seorang lagi dari Mahkamah Perusahaan.

Bekas presiden Majlis Peguam, George Varughese.
PETALING JAYA:
Bekas presiden Majlis Peguam, George Varughese antara 15 individu, termasuk 10 peguam yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman, kata sumber.

Empat daripada mereka datang dari Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, manakala seorang lagi dari Mahkamah Perusahaan.

“Ini kali pertama majoriti pesuruhjaya kehakiman dipilih dalam kalangan peguam, termasuk 3 dari Sarawak,” kata sumber kepada FMT.

Tiga individu dari Sarawak ialah Khairil Azmi Mohamad Hasbie dan Leonard David Shim, kedua-duanya bekas presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak dan seorang lagi ialah peguam kanan, Wong Siong Tung.

Mereka yang datang dari perkhidmatan ialah timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Aslam Zainuddin, pendaftar Mahkamah Rayuan, Norsharidah Awang, penasihat undang-undang Perak, Rohana Abd Malek dan Pengarah Mahkamah Perak merangkap Hakim Mahkamah Sesyen, Julie Lack.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Fredrick Indran X A Nicholas, bekas majistret dan peguam turut disenaraikan.

Peguam dari Semenanjung Malaysia yang berada dalam senarai itu ialah Tee Geok Hock, Nadzarin Wok Nordin, Quay Chew Soon, Wong Hok Chong, Atan Mustaffa Yussof Ahmad dan Anand Ponnudurai.

Sumber itu berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) nampaknya menyahut gesaan untuk mencalonkan lebih ramai peguam bagi menutup jurang antara mereka yang datang dari Majlis Peguam dan kerajaan.

Terdapat kira-kira 21,500 peguam dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berbanding 2,000 peguam kerajaan — timbalan pendakwa raya dan peguam persekutuan — dari Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, satu kenyataan Unit Komunikasi Korporat Mahkamah Persekutuan berkata, 15 individu itu akan mengangkat sumpah jawatan di depan hakim besar Malaya, Sabah dan Sarawak esok.

Semuanya akan diletakkan dalam tempoh percubaan sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum JAC menentukan mereka akan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.