
Bangkai rusa berusia 10 tahun itu ditemui di Taman Negara Khun Sathan di Wilayah Nan, utara Thailand, Isnin lalu.
Rusa seberat 200kg itu dipercayai mati sekurang-kurangnya 2 hari sebelum ditemui.
Pengarah Pejabat Wilayah 13 Kawasan Dilindungi (Phrae) Kriangsak Thanompan berkata, laporan autopsi menemui 7kg plastik dalam perut haiwan itu, termasuk beg plastik, paket bungkusan kopi dan mi segera, sapu tangan, pakaian dalam, tali dan sarung tangan getah.
“Sisa plastik dalam perut rusa itu terkumpul selama beberapa tahun. Kami percaya plastik itu antara punca kematian haiwan berkenaan.
“Kita perlu mengurangkan penggunaan plastik, terutamanya plastik sekali guna,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penemuan menyedihkan itu mencetuskan kesedaran terhadap pembuangan sisa plastik, khususnya di taman negara.
Ogos lalu, seekor anak dugong, Mariam, ditemui mati berikutan jangkitan dalam perut selepas menelan cebisan plastik.
Thailand antara pengguna plastik terbesar dunia. Mulai Januari depan, pengendali utama, termasuk rangkaian kedai serbaguna akan menghentikan penggunaan plastik sekali guna.