Persatuan bola keranjang minta maaf bendera bintang 5 bucu cetus kemarahan

Persatuan bola keranjang minta maaf bendera bintang 5 bucu cetus kemarahan

Polis berkata, Persatuan Bola Keranjang Malaysia turut membuat satu laporan polis berhubung paparan bendera berbintang 5 bucu itu.

Bendera berbintang 5 bucu dipaparkan di skrin digital pada majlis perasmian Piala Lum Mun Chak Maba/Milo ke-28 di Kuala Lumpur baru-baru ini. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) hari ini memohon maaf atas paparan bendera Malaysia berbintang 5 bucu pada majlis perasmian sebuah kejohanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Maba dalam catatan di Facebook berkata, pasukan siaran langsungnya tersilap memaparkan bendera salah pada skrin digital.

“Kami minta maaf atas kesilapan ini dan kami mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan ini.

“Tolong maafkan kami, kami sentiasa berusaha mengembang dan membangunkan sukan bola keranjang di Malaysia.”

Gambar dan klip video paparan bendera silap itu dalam majlis perasmian Piala Lum Mun Chak Maba/Milo ke-28 tersebar di media sosial dengan sesetengah pengguna internet mendakwa persatuan terbabit rasis dan mempromosikan komunisme.

Dalam satu mesej kepada media, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, Maba membuat satu laporan mengenai perkara itu yang sedang disiasat polis.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula berkata, kejadian itu menunjukkan sesetengah rakyat tidak menghargai identiti negara dan makna di sebalik lambang serta warna Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, katanya, kes ini mungkin berpunca daripada kejahilan berbanding perkauman dan komunisme.

“Kejahilan ini kerana kita tidak peduli atau benar-benar sayangkan negara ini. Kita tidak menghargai kemakmuran yang kita capai berdekad lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada tindakan segera Maba memohon maaf, tetapi berkata, persatuan itu perlu sedar kenapa ramai yang mencurigai kejadian itu.

“Maba dilihat dimonopoli kaum tertentu dan tidak menghormati identiti negara. Facebook Maba hanya memuatkan catatan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Poster kejohanan itu hanya menekankan bahasa Inggeris dan Mandarin.”

Malah, katanya, permohonan maaf Maba di Facebooknya hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Jadi, katanya, jika Maba mahu dimaafkan rakyat, ia perlu menunjukkan contoh baik dengan menghormati bahasa kebangsaan dan Jalur Gemilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.