Negara tandus tanpa sasterawan, kata Maszlee

Negara tandus tanpa sasterawan, kata Maszlee

Sastera dekat dengan diri Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata negara akan tandus tanpa golongan sasterawan, yang berupaya menyemai pemikiran dan menumbuh nilai-nilai peribadi manusia.

Katanya, meskipun dirinya tidak bergelar seorang sasterawan namun sastera sangat dekat dihatinya.

“Tak guna kita bicara pembangunan setinggi langit, tetapi nama seperti Usman Awang hanya tinggal sejarah, sosok seorang Shahnon hanya mural tidak bernama,” katanya merujuk kepada Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

Seramai 54 pemenang diraikan dalam majlis mengikut kategori masing-masing, antaranya Buku Sastera Dewasa, Cerpen Eceran, Cerpen Eceran Remaja dan Puisi Eceran.

Maszlee percaya negara perlu memperbanyakkan lagi anugerah yang mengangkat martebat sastera.

Beliau sendiri bertemu dengan beberapa hartawan yang sudi menyumbang dana untuk menyemarakkan lagi dunia sastera tanah air.

Maszlee percaya sudah tiba masanya karya-karya sastera tempatan menjadi sebahagian warga dunia.

“Pemasaran karya-karya ini berlu bersifat lebih meluas dan global. Para pemain industri perlu merangka rancangan strategik bagi memastikan pemasaran karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.