
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam diberikan maklumat penuh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap Zakaria.
“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas untuk tindakan tersebut (pecat) diambil.
“Jadi saya tegaskan sekali lagi, semua pimpinan lain hendaklah peringatkan diri sendiri untuk sentiasa hadir mesyuarat. Gunakan platform pertemuan parti untuk bincangkan perkara-perkara ini, bukannya keluarkan kenyataan dalam media.
“Bagi saya itu (membuat kenyataan media) tidak menyelesaikan masalah dan hanya akan merumitkan keadaan. Platform terbaik adalah dengan beliau hadir mesyuarat, saya tegaskan sekali lagi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Zuraida mengecam tindakan PKR memecat Zakaria dan seorang lagi ahli di Pahang yang disifatkannya sebagai “berani” dan pilih bulu.
Beliau seterusnya menggesa PKR melakukan reformasi kepimpinan dengan segera, jika parti itu “mahu diselamatkan”.
Semalam, pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria serta seorang ahli di Pahang, Ismail Dulhadi, selepas SPRM mendapati ketua PKR Bahagian Bera itu menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 ketika bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.
Zakaria bagaimanapun dilaporkan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pemecatan itu dan akan menunggu penjelasan rasmi parti sebelum memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya.
Menurut Fahmi, beliau sendiri difahamkan bahawa Zakaria sudah bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini semasa siasatan SPRM masih di peringkat awal.
“Dia sudah bertemu dengan Anwar apabila insiden itu berlaku. Beliau diberikan ruang untuk menjelaskan perkara berkenaan, bahkan parti turut membenarkan ahli yang dipecat membuat rayuan kepada presiden,” katanya.