
Peguam waris Siva Raja Raman, 30, yang meninggal dunia pada 20 Mac 2017, berkata keluarganya masih tertanya-tanya apakah punca kematian lelaki itu, yang dimaklumkan mati pada hari dia sepatutnya dibebaskan.
“Sekarang sudah 33 bulan berlalu, masih tiada sebarang inkues. Keluarga nak tahu dan mereka perlu tahu apa punca ahli keluarga mereka mati,” kata M Visvanathan pada sidang media bersama waris Siva hari ini.
Siva sepatutnya dibebaskan pada hari kejadian selepas menjalani hukuman 8 bulan. Ibunya, Muniamah Raman memfailkan permohonan untuk diadakan suatu inkues ke atas kematian anaknya pada 3 Sept 2018, yang diluluskan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 19 Okt tahun sama.
“Dzulkefly Ahmad, kenapa Hospital Tapah masih gagal kemukakan laporan hasil bedah siasat? Bukankah laporan itu sepatutnya siap selepas bedah siasat siap?
“Muhyiddin Yassin, kenapa laporan kematian mengejut tak diselesaikan? Apa tatacara operasi standard sekiranya ada tahanan mati dalam penjara?
“Liew Vui Keong, kenapa koroner gagal adakan kes inkues seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh?” katanya, merujuk kepada menteri kesihatan, menteri dalam negeri dan menteri undang-undang.
Visvanathan menjelaskan laporan-laporan berkaitan penting untuk membuka inkues, namun selepas beberapa proses pihaknya dimaklumkan masih belum siap dan belum lengkap.
“Arahan telah dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya tapi laporan-laporan ini masih belum diterima,” katanya.
Keluarga Siva memberikan tempoh 30 hari kepada 3 menteri berkenaan untuk menjawab tuntutan mereka, dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya masih tiada jawapan.
Visvanathan, yang juga pengerusi Penghapusan Kematian dan Keseksaan Bersama (Edict), mendedahkan pihak keluarga terkejut apabila mendapati mayat Siva kehilangan semua jari kaki kiri.
“Mangsa normal tapi sewaktu bedah siasat baru keluarga tahu kelima-lima jari kaki sebelah kirinya telah dipotong.
“Mereka tak tahu langsung sebab apa dipotong dan mengikut makluman, jari kaki Siva dipotong di hospital tapi tak tahu sebab apa,” katanya.
FMT sedang mendapatkan maklum balas Dzulkefly dan Liew berhubung perkara ini.