Kesan tikaman ditemui pada badan pasangan warga emas rentung

Kesan tikaman ditemui pada badan pasangan warga emas rentung

Hasil siasatan dengan saksi mengatakan ada kedengaran bertengkar sebelum kejadian, kata polis

IPOH: Beberapa kesan tikaman ditemui pada badan pasangan suami isteri warga emas yang mati rentung dalam kebakaran di sebuah unit apartmen di Taman Meru Impiana dekat Meru Raya semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Anuar Othman.

Beliau berkata berikutan hasil bedah siasat itu, polis kini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kesan tikaman yang ditemui pada si suami adalah pada bahagian dada manakala si isteri di bahagian belakang…terdapat beberapa tikaman.

“Hasil daripada bedah siasat itu juga kita percaya si isteri meninggal dunia 24 jam (sebelum kebakaran) dan kemungkinan juga selepas itu si suami datang memulakan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata pihaknya kini sedang menyiasat semua aspek termasuk motif dan punca kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan dengan saksi mengatakan ada kedengaran bertengkar sebelum kejadian. Kita sedang siasat balik motif untuk tahu punca mereka bergaduh sama ada sebab kewangan atau sebab lain,” katanya.

Anuar berkata pihaknya juga sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Semalam, Ketua Polis Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan awal bomba menemukan 2 tong gas di ruang ramu rumah tersebut yang sepatutnya berada di dapur.

Katanya, mangsa wanita berkenaan berumur 74 tahun, manakala lelaki juga berusia 70-an.

Sebelum itu, bomba pula memaklumkan mangsa yang maut suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dipercayai berketurunan Arab dan isteri Kamariah Talib, seorang warga tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.