
Anwar berkata, 10% ahli yang tidak hadir konvensyen berkenaan perlu mematuhi suara 90% yang hadir.
“Walaupun di Sarawak tak sampai 90% hadir, tapi majoriti hadir. Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan 100% hadir.
“Jadi kalau ada tempat 90% itu ok, tapi saya nak ingatkan yang 10% itu kena patuh dengan 90%,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di sini, hari ini.
Semalam Konvensyen PKR Sarawak yang dibatalkan oleh kepimpinan negeri sebelum itu diteruskan tanpa kehadiran pengerusinya, Baru Bian, setelah diarahkan berbuat demikian oleh kepimpian PKR pusat.
Konvensyen berkenaan dirasmikan sendiri oleh Anwar.
Anwar yang mengakui menerima tekanan berhubung perkembangan itu berkata, beliau harus bertegas bagi menangani kontroversi yang berlaku bagi memastikan ia tidak mengganggu sebarang agenda perjuangan PKR.
“Tak ramai pemimpin yang penyabar macam saya, sampai saya kena marah sebab tak tegas. Saya kata sabar, nak tegas apa, dah 90% bersama kita.
“Bagi saya paling penting adalah ia tak ganggu kerja, agenda kita, cuma ganggu di media sahaja. Itu pun perjumpaan mereka terbongkar dengan sendirinya.
“Hari-hari MP Umno menafikan. Maknanya muslihat mereka main pintu belakang terbongkar sendiri,” katanya merujuk kepada kontroversi pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dengan beberapa orang ahli Parlimen Umno di rumah beliau awal minggu ini.
Menteri hal ehwal ekonomi itu bagaimanapun berkata, pertemuan itu hanya membincangkan isu pembangunan di kawasan ahli Parlimen terbabit.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kemudiannya berkata, Azmin memaklumkan kepadanya bahawa ahli Parlimen Umno tersebut hadir untuk mengadu tentang hala tuju Umno dan sama ada mereka perlu meninggalkan parti itu atau menyertai parti lain.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh pemimpin Umno terbabit, termasuk bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, yang sebelum itu dikaitkan dengan khabar angin percubaan mewujudkan sebuah kerajaan “pintu belakang” antara Umno-BN dan pihak tertentu dalam PH.
Dalam satu kenyataan semalam, Hishammuddin dan tujuh yang lain berkata, dakwaan itu tidak berasas dan mereka berjumpa Azmin untuk membincangkan isu berkaitan kawasan Parlimen masing-masing.
Mereka juga mengulangi pendirian sebelum ini, iaitu tidak berniat meninggalkan Umno atau menyertai parti lain.