Putrajaya bakal umum keputusan cadangan wajib vaksin

Putrajaya bakal umum keputusan cadangan wajib vaksin

KKM sudah pun menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji perkara tersebut dan ia akan dibentangkan kepadanya dalam sedikit masa lagi.

Kerajaan komited meneruskan Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Keputusan cadangan ibu bapa wajib memberikan suntikan imunisasi kepada anak mereka akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sudah pun menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji perkara tersebut dan ia akan dibentangkan kepadanya dalam sedikit masa lagi.

“Hampir, sangat dekat (untuk umum keputusan jawatankuasa).

“Sikit lagi. Sudah di peringkat hujung,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Mammogram Percuma Etiqa di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini kajian Jawatankuasa Pemandu Perancangan Kementerian Kesihatan berhubung cadangan itu.

Sebelum ini, Dzulkefly menyebut pembentangan untuk kelulusan cadangan itu bakal dibentangkan pada 8 Mei lalu. Tetapi, tiada laporan mengenainya selepas tarikh berkenaan.

Kali terakhir ia dilaporkan pada penghujung April lalu dengan mengatakan jawatankuasa itu sedang giat mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan suntikan imunisasi tersebut.

Terdahulu, Dzulkefly dilaporkan berkata kerajaan komited meneruskan Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas meskipun kerajaan perlu menanggung kos yang agak tinggi.

Dalam Belanjawan 2020 lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak secara percuma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.