
Bercakap kepada FMT, Transparency International Malaysia (TI-M) dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata surat sokongan itu tidak wajar.
Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan pendiriannya menentang surat sokongan dan parti gabungan itu tidak sepatutnya mengeluarkan surat sedemikian.
“Niat di sebalik surat sokongan itu mungkin baik tetapi prinsipnya salah. Sekiranya kita mengeluarkan surat sokongan, kita juga mungkin tidak mempunyai tender terbuka,” katanya.
Semalam, Salahuddin berkata tidak salah beliau menulis surat sokongan untuk Nafas bagi mendapatkan tender penanaman padi RM1.4 bilion kerana tender belum diputuskan.
Beliau juga berkata ia akan memberi manfaat kepada 920,000 ahli Nafas dan bukan untuk perkayakan dirinya.
Terdahulu, Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Nafas, yang melibatkan peruntukan RM1.4 bilion, mendakwa ia diberi secara rundingan terus walaupun tewas dalam persaingan tender terbuka.
Mohan berkata surat sokongan itu tidak adil kepada pihak yang mengambil bahagian dalam tender tersebut.
“Tender itu harus dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan surat sokongan tidak seharusnya memainkan peranan dalam hal ini,” katanya.
Pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel mengkritik tindakan Salahuddin.
“Adalah memalukan menteri utama PH berusaha menulis surat sokongan untuk campur tangan proses tender,” katanya.
Sementara itu, Wee berkata pengakuan Salahuddin menunjukkan PH tidak melakukan perbincangan dan Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin, tidak memberitahu perkara sebenar di Dewan Rakyat.
Pada Khamis, Sim berkata beliau dan Salahuddin tidak campur tangan dalam proses tender.
Wee berkata pokok persoalan adalah PH tidak mematuhi prinsipnya sendiri.
“Selama ini, PH bercakap mengenai tender terbuka dan mereka menentang rundingan terus dan surat sokongan. Sekarang mereka adalah kerajaan dan mereka lakukan sebaliknya. Apakah ini?” soalnya kepada FMT.
Ahli Parlimen Subang PKR Wong Chen mengalu-alukan kesediaan Salahuddin untuk telus menerusi pengakuannya.
“Sekarang pihak berkuasa perlu meneliti jika dia melanggar sebarang undang-undang. Kita tidak sepatutnya melompat kepada kesimpulan tetapi biarkan pihak berkuasa melakukan kerja mereka secara bebas.
“Pada pendapat saya, masalah yang besar adalah dasar pemerolehan dan tender terus membenarkan tender yang dirundingkan. Dasar ini sepatutnya dirombak oleh Kabinet lama dahulu.”
Pemimpin DAP, Dr Boo Cheng Hau berkata menulis surat sokongan kepada PM adalah “amalan luar biasa” kerana keputusan mengenai tender terletak pada Kementerian Kewangan.
Namun, ahli jawatankuasa DAP Johor itu berkata beliau percaya Salahuddin mempunyai alasan yang kukuh dalam menulis surat sokongan itu jika beliau dapat buktikan cadangannya memberi manfaat kepada petani dan bukannya sekumpulan kecil individu.
“Ini adalah apa yang dipanggil ‘sosialisasi’ ekonomi yang termasuk dalam manifesto PH,” katanya.