
Setakat ini, katanya, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara, walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.
“Dalam tekanan kewangan kini, mungkin kita boleh mengkaji dan mempertimbang untuk mewujudkan ‘private prison’ seperti dilaksanakan di United Kingdom,” katanya selepas majlis penutupan Kolokium Pembaharuan Penjara di Ibu Pejabat Penjara di Kajang, dekat sini, hari ini.
Azis berkata, beliau sempat melihat operasi penjara swasta semasa lawatannya ke UK baru-baru ini dan ia tidak memerlukan kerajaan membina penjara baru.
Katanya, perkara itu akan diserahkan kepada Jabatan Penjara untuk dikaji daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil kajian kepada kementerian untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata, jika wujud penjara swasta, banduan yang dijatuhi hukuman akibat kesalahan ringan boleh ditempatkan di sana.
Sementara itu, mengulas tindakan kerajaan menaik taraf penjara lama, Azis berkata, penjara di Pengkalan Chepa, Kelantan, Batu Gajah di Perak dan Seremban di Negeri Sembilan akan ditambah baik mulai tahun depan.
Katanya, 3 lagi penjara di Taiping, Muar dan Pulau Pinang yang perlu diselenggara turut mendapat perhatiannya.
“Struktur bangunan ini sudah terlalu lama dan kami akan mendapatkan peruntukan…jika boleh untuk tahun depan.”