Anwar marah saya sertai gerakan Dr M pada 2015, kata Shamsul

Anwar marah saya sertai gerakan Dr M pada 2015, kata Shamsul

Shamsul menjelaskan kepada Anwar bagaimana rancangan Dr M itu boleh menggerakkan 'kekuatan dalam pembangkang' seterusnya menumbangkan kerajaan pada PRU-14.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa dirinya antara perintis dalam gerakan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, sehingga menimbulkan kemarahan presiden partinya, Anwar Ibrahim, yang ketika itu dipenjara.

Ini kerana gerakan itu dimulakan oleh Dr Mahathir Mohamad, yang pada 2015 masih musuh utama Anwar.

Beliau berkata gerakan Mahathir itu tertumpu kepada amalan kleptokrasi Najib dan skandal 1MDB.

Mahathir menggunakan gerakan tersebut untuk membina sokongan bagi Deklarasi Rakyat, menghimpunkan seberapa ramai orang yang boleh bagi memastikan penentangan yang kuat, kata Shamsul dalam temubual bersama editor New Mandala, Rebecca Gidley.

Beliau berkata mereka menyasarkan 1 juta tandatangan.

“Saya rasa saya terlibat secara peribadi kerana saya dalam salah satu kumpulan terawal Deklarasi Rakyat itu,” katanya, sambil menambah ketika itu hanya mempunyai 40 orang, menjadikannya salah seorang perintis.

“Tetapi, sudah tentu, Anwar sangat marah dengan saya kerana penglibatan saya itu.

“Saya sebenarnya menerima beberapa pucuk surat beliau dari penjara, yang mempersoalkan langkah saya menyokong Deklarasi Rakyat Mahathir.

“Tetapi saya harus mengatakan, analisis yang saya buat itu ketika dalam keadaan ketiadaan ketua pembangkang yang jelas,” katanya, yang juga timbalan menteri industri utama.

Beliau menjawab soalan bagaimana “perikatan baru” ditubuhkan untuk bertanding pada pilihan raya umum 2018 dan mengenai cabaran yang dihadapi sebelum pilihan raya itu.

Shamsul berkata kesediaan Mahathir untuk menentang Najib adalah yang paling penting dan “ia sesuatu yang tuhan berikan kepada kami, dan saya melihat potensinya”.

Katanya, beliau menjelaskan kepada Anwar bagaimana rancangan itu boleh menggerakkan “kekuatan dalam pembangkang” dan memastikan kedua-dua mereka bertemu untuk menyelesaikan perseteruan masa lalu.

Shamsul yang merupakan penyokong kuat Anwar berkata “perjalanan” gerakan itu bermula ketika Mahathir secara terbuka mengatakan Najib salah dalam cara pentadbirannya.

Ia membawa kepada kelahiran PPBM, yang membuka pintu kepada pembentukan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PPBM, PKR, Amanah dan DAP.

“Saya masih ingat dengan jelas pada masa itu…puncak perbincangan kami adalah keputusan yang diambil oleh majlis presiden, di mana kami berjaya berunding mengenai bilangan kerusi sebelum pilihan raya (untuk menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri).

“Saya berada di sana pada waktu bersejarah itu. Hanya tiga pemimpin daripada PKR ketika itu, iaitu saya sendiri, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

“Jadi, kami bertiga bersama pemimpin parti lain berunding dan membuat perjanjian yang jelas bahawa akan ada regimen kerusi tertentu: 54 untuk PPBM, 53 untuk PKR dan selebihnya.

“Dan kerana itu, kami menamakan Mahathir sebagai perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Shamsul berkata mereka berharap Anwar akan diberi pengampunan dan dibebaskan sebaik sahaja mereka berjaya mengambil alih kerajaan, seterusnya menjadi perdana menteri ke-8.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.