Hayunan undi Cina akan menangkan BN di Tg Piai, ramal tinjauan

Hayunan undi Cina akan menangkan BN di Tg Piai, ramal tinjauan

Peninjau pendapat awam Ilham Centre mencapai kesimpulan itu selepas meninjau pendapat 394 pengundi.

Undi Cina di Tanjung Piai dijangka kembali ke BN, ramal tinjauan pendapat.
PETALING JAYA:
Satu tinjauan pengundi di Tanjung Piai oleh peninjau pendapat awam mendapati peralihan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada Sabtu.

Tinjauan rawak melibatkan 394 pengundi dari pelbagai kaum, jantina, usia dan kawasan itu menunjukkan ke arah kemenangan selesa buat calon BN, Wee Jeck Seng, mengatakan ia cerminan sokongan akar umbi yang kuat buat Umno di Johor meskipun ia tewas di negeri itu pada pilihan raya umum lepas.

Menurut laporan itu, Pakatan Harapan menang pada pilihan raya 2018 kerana kehadiran PAS, yang memaksa pertandingan tiga penjuru antara tiga parti politik terbesar.

“Dengan membuat matematik mudah, PH sebenarnya sudah ketinggalan kira-kira 1,902 undi sebelum perlawanan bermula lagi,” kata Ilham Centre, yang mengadakan tinjauan itu antara 9 dan 11 Nov.

Katanya, 74% daripada undi untuk PH di Tanjung Piai tahun lepas daripada pengundi Cina, yang membentuk 42% daripada pengundi di situ.

Namun secara purata ia rendah berbanding sokongan pengundi Cina di peringkat nasional iaitu 94%.

“Ini membuktikan bahawa MCA mempunyai pendukung dan akar umbi yang kuat di Tanjung Piai. Sebarang peralihan undi PH ke BN, ataupun tidak keluar mengundi, ataupun mengundi calon-calon lain, akan memberi kesan yang besar terhadap majoriti yang diperolehi oleh pemenang,” tambahnya.

Kajian itu menunjukkan antara sebab undi Cina akan beralih ke BN adalah kegagalan PH menunaikan manifesto pilihan rayanya (59.1%), prestasi kerajaan persekutuan yang kurang memuaskan (59%), prestasi kerajaan negeri yang kurang memuaskan (53%), dan kos sara hidup semakin tinggi (60%).

Katanya, penyatuan PAS dan Umno tidak menjejaskan sentimen orang Cina terhadap BN, dengan hanya 40% bersetuju dengan cadangan bahawa Mufakat Nasional dua parti Melayu itu akan meminggirkan masyarakat bukan Melayu.

Ia berkata sokongan kepada BN dalam kalangan pengundi Melayu kekal sama, sementara mereka yang mengundi untuk PAS pada pilihan raya 2018 dijangka beralih kepada BN kali ini.

Katanya, pemilihan Wee untuk bertanding pilihan raya kecil itu memberi kelebihan kepada BN, kerana Wee lebih dikenali dan diterima pengundi berbanding pesaing terdekat, Karmaine Sardini dari PH.

Selain Wee dan Karmaine, empat calon lain yang mahukan kerusi itu adalah Wendy Subramaniam dari Gerakan, Badhrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa, dan calon bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ilham Centre berkata 75% daripada responden mengatakan Wee mempunyai kredibiliti lebih tinggi berbanding 24% yang memilih Karmaine.

Ia juga berkata empat calon lain tiada sebarang impak.

“Pertembungan kali ini hanya tertumpu kepada BN dan PH sahaja. Berjasa, Gerakan, dan dua lagi calon Bebas tiada dalam perkiraan pengundi di sini,” tambahnya.

Pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, Dr Md Farid Md Rafik (PH-PPBM) peroleh 39.7% undi (21,255), Wee (BN-MCA) 38.7% undi (20,731), dan Nordin Othman (PAS) 5.5% undi (2,962).

Pengundi berketurunan Melayu mewakili 56.8% pengundi, Cina 41.64% dan India 1.01%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.