
Dalam ringkasan eksekutifnya, Ilham Centre berkata parti itu dijangka menang besar di kerusi penyandang dominan seperti Sulaman yang ditandingi Pengerusinya Hajiji Noor, Karanaan, Kuala Penyu dan Membakut.
Menurutnya, selain kelebihan sebagai penyandang, imej sederhana Hajiji jug boleh diterima rentas kepimpinan parti lain, mengekalkan sokongan di kawasan pantai barat; kempen membawa
naratif kestabilan dan tenang yang menarik perhatian pengundi.
Jelas Ilham Centre, Warisan pula diramal memenangi sekurang-kurangnya enam kubu kuat khususnya di kawasan Pantai Timur namun berpotensi menggandakan kemenangan sehingga 14 kerusi sekiranya berlaku ayunan undi di kawasan bandar dan beberapa DUN dikategorikan sengit.
“Barisan Nasional (BN) dijangka memperoleh sekitar sembilan DUN setakat ini dengan kemungkinan menambah kerusi sekiranya berjaya menawan beberapa kawasan kategori sengit yang dianggap sebagai ‘kerusi bonus’ kepada gabungan itu.
“Pakatan Harapan (PH) pula diramalkan hanya mampu mengekalkan sekitar empat kerusi selesa, dengan cabaran besar melebarkan pengaruh di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih dikuasai parti tempatan,” kata laporan itu.
Ilham Centre turut mengenal pasti 13 kerusi ‘sangat sengit’ dan terbuka kepada mana-mana parti untuk dimenangi bergantung kepada faktor tempatan, calon, kempen saat akhir serta peratusan keluar mengundi.
“Daripada 13 kerusi ini, Perikatan Nasional (PN) dilihat berpotensi di dua kawasan iaitu Karambunai dan Sugut.
“Kegagalan memenangi mana-mana kerusi ini boleh menjadi isyarat kuat atau ‘wake-up call’ kepada PN selepas PRN Sabah kali ini,” katanya.
Ilham Centre turut berpandangan situasi DUN tergantung masih berpotensi berlaku di mana tiada satu parti mendapat majoriti mudah iaitu 37 kerusi.
“Namun GRS mempunyai kelebihan menstabilkan kerajaan melalui tambahan kemenangan di kerusi sengit, kerjasama bersama PH serta rundingan dengan parti tempatan dan calon bebas,” katanya.
Ilham Centre melaksanakan kajian lapangan selama hampir dua minggu, bermula 15 hingga 27 Nov bagi mendapatkan gambaran sebenar sikap dan tingkah laku pengundi.
Kajian ini melibatkan dua pendekatan utama, iaitu kajian kuantitatif menerusi soal selidik bersemuka di lapangan dan kajian kualitatif melalui perbincangan kumpulan fokus (FGD) serta temu bual mendalam.
Seramai 1,500 responden ditemu bual secara bersemuka, melibatkan pelbagai segmen pengundi termasuk berdasarkan kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, pekerjaan, pendapatan serta lokasi bandar dan luar bandar.
Bagi komponen kualitatif, ILHAM Centre menjalankan lima sesi FGD melibatkan 20 peserta serta 12 temu bual mendalam dengan informan utama, termasuk golongan akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UiTM Sabah.
Kajian itu mempunyai ralat (margin of error) sekitar 2.5% dan data dianalisis menggunakan pendekatan statistik bagi data kuantitatif serta analisis bertema bagi dapatan kualitatif.
Laporan itu disediakan pasukan diketuai Pengarah Eksekutif Hisommudin Bakar bersama Mohd Yusri Ibrahim, Mohd Azlan Zainal dan Mohd Jalaluddin Hashim.