
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mendengar taklimat mengenai cadangan itu semalam dan akan membentangkannya kepada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita akan wujudkan nukleus-nukleus baru pembangunan untuk membangunkan bandar-bandar kecil hinggalah ke negeri Johor.
“Kita tidak mahu pembangunan hanya tertumpu kepada Lembah Klang ataupun di bandar raya sahaja, tetapi daerah-daerah kecil perlu mendapat perhatian daripada kerajaan untuk dibangunkan kerana ia dapat memberikan kebaikan kepada penduduk berkenaan,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri “Sembang Santai Mesra Harapan” bersama penduduk Kampung Bakar Arang, di sini.
Turut hadir Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, koridor ekonomi baru itu merupakan pelan jangka masa panjang yang mungkin melangkaui tempoh 10 tahun bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang rancak.
Buat masa ini, pembangunan dapat disaksikan di kawasan pantai seperti Muar dan Batu Pahat dan pihaknya mahu melihat pembangunan di kawasan luar bandar.
“Jumlah bandar ataupun pekan yang akan dibangunkan masih dalam pertimbangan dan saya kira Tanjung Piai tidak akan terkecuali untuk dilihat secara menyeluruh, tetapi secara spesifik tertakluk kepada perbincangan di peringkat persekutuan,” kata beliau.
Menyentuh mengenai pelan pembangunan Tanjung Piai yang dicadangkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin baru-baru ini beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu.
Kata Azmin, pelan itu akan diteliti di peringkat kementerian dan EAC.
Tambah beliau, buat masa ini kira-kira RM20 juta diluluskan untuk pembangunan di Parlimen berkenaan yang mana peruntukan itu diluluskan semasa bekas ahli Parlimen Tanjung Piai Dr Md Farid Md Rafik masih hidup.