
Jenazahnya diiringi isteri Fatimah Taha serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat antara individu yang dilihat menyambut ketibaan jenazah Allahyarham.
Van membawa jenazah Salahuddin kemudian diiringi beberapa kenderaan polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk ke kediaman ibunya Aminah Abdullah, 83, di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai di Pontian.
Selepas itu, Allahyarham yang merupakan anak jati Tanjung Piai, akan dibawa ke kediamannya di Jalan Adil sebelum ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat.
Suasana hiba dapat dirasai dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di rumah ibu Allahyarham sejak 12 tengah malam tadi.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi selepas ditidurkan apabila menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.