Tokoh pembangkang Kemboja Sam Rainsy tiba di Malaysia, kerajaan Hun Sen tekad ‘musnahkan’ dia jika cetus isu

Tokoh pembangkang Kemboja Sam Rainsy tiba di Malaysia, kerajaan Hun Sen tekad ‘musnahkan’ dia jika cetus isu

Sam Rainsy berkata, "demokrasi telah berjaya di Malaysia dan demokrasi akan berlaku di Kemboja."

Pengasas parti pembangkang Kemboja, Sam Rainsy tiba di KLIA hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang tokoh pembangkang Kemboja, Sam Rainsy tiba di Malaysia hari ini selepas bertekad untuk pulang ke negaranya bagi menyertai perhimpunan menentang kepimpinan Perdana Menteri Hun Sen.

“Teruskan harapan. Kita berada di landasan yang betul,” kata Rainsy ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam mesej kepada penyokongnya.

“Demokrasi akan menang.

“Demokrasi telah berjaya di Malaysia. Demokrasi akan berlaku di Kemboja,” kata beliau.

Ditanya sama ada bercadang untuk pulang ke Kemboja, beliau berkata: “Saya tidak boleh mengatakan apa-apa. Saya tidak menafikan, saya tidak mengesahkan.”

Tokoh pembangkang veteran itu merancang untuk kembali ke Kemboja hari ini, sempena Hari Kemerdekaan, di mana Hun Sen mendakwa ada usaha mahu menggulingkan kerajaannya berusia lebih tiga dekad.

Sam Rainsy telah disekat daripada menaiki penerbangan Thai Airways ke Bangkok di Paris pada Khamis lalu.

Beliau dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain yang dilarang, berkata mereka mahu kembali ke Kemboja dengan menyeberang sempadan dengan Thailand melalui darat.

Malaysia tidak mempunyai sempadan dengan Kemboja.

Seorang pegawai Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), pimpinan Rainsy yang telah diharamkan, di Thailand berkata tiada siapa yang akan kembali pada hari Sabtu.

“Kami akan kembali secepat mungkin,” Saory Pon, Setiausaha Agung CNRP Luar Negara memberitahu Reuters, mengadu beberapa pegawai parti di Thailand telah diganggu dan diekori perkhidmatan keselamatan.

Jurucakap kerajaan Kemboja Phay Siphan berkata, jika Sam Rainsy kembali, dia akan menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Jika dia datang untuk menyebabkan ketidakstabilan dan kekacauan, kita akan memusnahkan dia,” katanya.

Seramai 50 aktivis pembangkang telah ditangkap dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, pasukan keselamatan mengadakan rondaan dalam trak pikap hari ini, yang menandakan ulang tahun ke-66 kemerdekaan Kemboja daripada Perancis.

Pada hari Ahad dan Isnin, Kemboja akan meraikan pesta air tahunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.