Nombor pengenalan cukai sukarkan perbuatan culas, kata pakar

Nombor pengenalan cukai sukarkan perbuatan culas, kata pakar

TIN membantu kerajaan mengesan sumber kewangan.

Pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.
KUALA LUMPUR:
Langkah pemberian Nombor Pengenalan Cukai (TIN) yang diperkenalkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, akan membantu mengelak perbuatan culas atau mengelak daripada membayar cukai, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid hari ini.

Beliau yang juga penasihat ekonomi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pada tahun lepas kerajaan memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang berakhir pada September dengan sejumlah 450,000 notis makluman diserahkan kepada 250,000 individu yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka.

“Jika anda tidak tampil mengemukakan maklumat berkaitan, kerajaan akan mengenakan penalti sehingga 300 peratus. Ini strategi pertama untuk memastikan semua (yang layak) tidak terkecuali menunaikan tanggung jawab itu. Strategi kedua adalah pengumuman kerajaan bahawa individu berusia lebih 18 tahun akan diberikan Nombor Pengenalan Cukai.

“Apabila anda membeli hartanah atau melakukan sebarang transaksi kewangan, anda perlu mengemukakan Nombor Pengenalan Cukai itu agar kami dapat mengesan sumber kewangan anda.

“Oleh itu, perbuatan mengelak cukai akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan hadirin mengenai tindakan golongan kaya mengelak daripada membayar cukai, pada sesi perbincangan bertajuk “Agenda Ekonomi: Jurang Minda – Beralih Ke Arah Kemakmuran Bersama” di Forum Ekonomi Belia 2019.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni Felow Perdana.

Muhammed menegaskan sebarang tindakan pengurangan cukai juga tidak dapat merangsang ekonomi.

“Ada yang kata tindakan mengurangkan cukai itu bagus…ini mengarut. Potongan cukai sama sekali tidak akan merangsang ekonomi dan ia bergantung kepada siapa dan tujuan pengurangan itu,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada bulan lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata rakyat berusia lebih 18 tahun selain entiti korporat akan diberi TIN berkenaan yang dijangka dilancarkan pada Januari 2021.

Menurut Lim, sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan akan dimulakan pada tahun depan dalam usaha melaksanakan inisiatif tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.