5 air terjun Selangor menarik untuk dikunjungi hujung minggu!

5 air terjun Selangor menarik untuk dikunjungi hujung minggu!

Selangor sememangnya kaya dengan keindahan alam sekitar dan kawasan air terjun yang tenang dan mendamaikan.

Sampai sahaja hujung minggu, pasti ramai yang memikirkan dimana lokasi sesuai untuk membawa anak-anak berjalan namun menggunakan bajet yang kecil.

Ini kerana kawalan perbelanjaan dari awal bulan adalah perlu supaya anda tidak “sakit” pada pertengahan bulan.

Menjengah pada lokasi yang penuh kehijauan, anda boleh menghabiskan masa di air terjun yang cantik dan sejuk untuk anda rasai.

Terdapat lima lokasi menarik yang anda boleh pergi bersama keluarga menjelang cuti sekolah nanti seperti yang dimaklumkan Selangor Tourism :

1. Sungai Tekala

Jarak Sungai Tekala dari Kuala Lumpur pula adalah kira-kira 50km.

Salah satu air terjun menakjubkan di Selangor ialah Sungai Tekala yang terletak kira-kira 14km dari Semenyih di daerah Hulu Langat. Jarak Sungai Tekala dari Kuala Lumpur pula adalah kira-kira 50km.

Pada tahun 1982, orang ramai akhirnya dapat menikmati keindahan Sungai Tekala setelah Taman Reaksi dibuka secara rasmi.

Ia adalah tempat yang ideal untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan kerana anda hanya memerlukan 10 minit untuk sampai ke air terjun dari pintu masuk utama.

Dengan caj masuk serendah RM2 bagi orang dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak, lokasi air terjun ini dilengkapi dengan deretan gerai makan, surau, aksara dan tandas awam.

Bagi yang ingin bermalam, perkhidmatan menyewa chalet juga disediakan, atau anda boleh menyewa tapak untuk mendirikan khemah untuk lebih penjimatan.

2. Air Terjun Kanching

Laluan atau trek di hutan ini adalah agak mudah bagi yang mula ingin berjinak-jinak untuk meredah hutan.

Hutan hujan Kanching yang juga dikenali sebagai Hutan Lipur Kanching terletak di antara Bandar Rawang dan Kuala Lumpur. Pada hujung minggu, hutan ini sangat terkenal sebagai lokasi untuk berkhemah, berkelah, berenang dan meredah hutan kerana lokasinya yang strategik dan dekat dengan pusat bandar.

Laluan atau trek di hutan ini adalah agak mudah bagi yang mula ingin berjinak-jinak untuk meredah hutan dan ia juga dipenuhi oleh pelbagai spesis tumbuhan yang jarang dapat dilihat di tempat lain.

Hutan ini diuruskan oleh pihak Tourism Selangor, dan mempunyai tujuh lapisan air terjun yang indah dan menakjubkan.

Tambahan lagi, adalah suatu pemandangan biasa jika anda terlihat sekumpulan monyet bergayutan dari pokok ke pokok dalam habitat asli mereka.

Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM1 seorang dan RM2 untuk caj parkir bagi sebuah kereta.

3. Lata Medang

Jika anda ingin ke air terjun Lata Medang, anda perlu bersiap sedia untuk mendaki ke lokasi diingini.

Terdapat satu lagi air terjun mencabar yang terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu.

Air terjun ini berhampiran dengan kampung Orang Asli yang menjadi penduduk tetap di Kampung Pertak.

Jika anda ingin ke air terjun Lata Medang, anda perlu bersiap sedia untuk mendaki ke lokasi diingini.

Laluan trek adalah agak mudah bagi yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian.

Di sepanjang jalan ke air terjun Lata Medang, anda akan dapat menyaksikan pelbagai jenis tumbuhan dan pepohon, disertai pemandangan yang indah.

Anda akan dikenakan caj masuk sebanyak RM1 seorang untuk tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan lokasi air terjun tersebut.

4. Sungai Pisang

Anda boleh melewati terowong dengan mengharungi laluan yang mempunyai air atau berjalan di bahagian tebing.

Air terjun ini terletak di pinggir Lebuhraya Karak. Untuk sampai ke air terjun ini, anda perlu memulakan aktiviti meredah hutan dari lokasi yang dinamakan sebagai Jungle Lodge (terletak di sepanjang Jalan Gombak lama ke Genting Highland).

Perjalanan ke sana akan mengambil masa selama satu jam. Anda akan menyeberangi sungai beberapa kali, melalui terowong yang terletak di bawah Lebuhraya Karak dan mendaki melalui hutan berusia 100 tahun.

Anda boleh melewati terowong dengan mengharungi laluan yang mempunyai air atau berjalan di bahagian tebing.

Apa yang lebih menarik, anda boleh menikmati sensasi ala spa dengan air sungai yang menempatkan ikan-ikan kecil menggigit manja kulit-kulit mati yang terdapat di tapak kaki anda,

5. Sungai Chiling

Air terjun Chiling mempunyai tiga paras air terjun tetapi anda hanya dibenarkan untuk menerokai hingga ke paras yang pertama.

Sungai Chiling adalah salah satu daripada air terjun yang menakjubkan dan luar biasa yang terdapat di Negeri Selangor.

Perjalanan ke air terjun ini memakan masa kira-kira satu jam melibatkan aktiviti berjalan dan meredah hutan.

Jadi anda perlu bersiap siaga untuk sebuah pengembaraan dengan keberangkalian pakaian menjadi basah seusai sampai ke lokasi.

Air terjun dan sungai ini merupakan salah satu dari tapak Perlindungan Ikan Mahseer yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Air terjun Chiling mempunyai tiga paras air terjun tetapi anda hanya dibenarkan untuk menerokai hingga ke paras yang pertama manakala dua paras selebihnya tidak dibuka kepada orang awam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.