
Tuntutan ini telah dibangkitkan MTUC sejak 20 tahun lalu dan baru-baru ini tuntutan ini telah dibangkitkan semula oleh MTUC semasa Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva tahun ini.
Malah, MTUC pada 2003 telah mengemukakan aduan (Kes No.2301) kepada Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), mendakwa bahawa undang-undang buruh di Malaysia menafikan hak pekerja untuk berpersatuan secara bebas dan menyertai organisasi mengikut pilihan mereka sendiri.
Kebebasan berpersatuan dan berunding secara kolektif adalah hak asasi yang menjadi teras utama perlembagaan ILO dan Deklarasi Philadelphia. Kedua-dua hak ini termaktub dalam Konvensyen ILO No. 98 – Konvensyen Hak Untuk Berorganisasi dan Perundingan Kolektif, 1949 (K87) dan ILO Konvensyen No. 87 – Konvensyen Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak Untuk Berorganisasi, 1948 (K98).
Malaysia telah meratifikasi K98 pada 1961 dan belum lagi meratifikasi K87. Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang meminda undang-undang perburuhan yang berkaitan untuk memastikan peruntukan di bawah undang-undang tersebut selari dengan K87, sebelum mempertimbangkan ratifikasi.
Pada masa kini, undang-undang perburuhan di Malaysia mengehadkan kebebasan penubuhan kesatuan sekerja.
Peruntukan di bawah undang-undang sedia ada yang tidak membenarkan lebih daripada sebuah kesatuan di tempat pekerjaan telah menyebabkan monopoli dan manipulasi oleh sesetengah pemimpin kesatuan pekerja. Ini telah menyebabkan keadaan di mana pekerja-pekerja tidak mempunyai pilihan untuk memilih mana-mana kesatuan yang diingini kerana pada masa kini tiada sebarang alternatif untuk mereka berbuat demikian.
Akibatnya, kebanyakan pekerja tidak bermotivasi langsung untuk menyertai mana-mana kesatuan sekerja. Pada suatu ketika, kepadatan keahlian kesatuan sekerja di negara ini adalah pada kadar 10% dan kini ianya lebih kurang 6% yang mana adalah membimbangkan.
Terdapat kemungkinan kadar ini akan menjadi lebih rendah sekiranya pekerja tidak diberi kuasa untuk menjalankan hak mereka untuk menubuh dan menyertai kesatuan sekerja secara bebas.
Kebebasan berpersatuan adalah berpaksikan kepada kepelbagaian kesatuan sekerja di mana ia selari dengan prinsip asas K87 iaitu hak pekerja untuk menubuh dan menyertai kesatuan sekerja mengikut pilihan sendiri tanpa perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.
Tuntutan MTUC supaya Malaysia meratifikasi K87 tanpa membenarkan kepelbagaian kesatuan pekerja adalah bertentangan dengan logik, kerana kepelbagaian kesatuan sekerja merupakan prinsip utama kepada kebebasan berpersatuan dan ia tidak boleh ditafsirkan sebaliknya berdasarkan kepada fahaman sempit MTUC.
Pihak ILO semasa sesi libat urus dengan pihak kementerian juga menyatakan bahawa kepelbagaian kesatuan sekerja adalah teras utama prinsip kebebasan berpersatuan.
MTUC dalam cadangan dikemukakan kepada kementerian sebelum ini mencadangkan pembentukan kesatuan pekerja terhad kepada “industri yang sama”. Ini bermaksud hanya kesatuan sekerja berdasarkan industri boleh ditubuhkan dan kesatuan sekerja berdasarkan pertubuhan, tred dan pekerjaan tidak lagi boleh wujud.
Cadangan ini sama sekali tidak dapat diterima kerana ia bertentangan dengan prinsip utama K87 yang memberikan hak kepada pekerja-pekerja untuk menubuh dan menyertai kesatuan sekerja atas pilihan mereka sendiri tanpa perlu memperoleh kebenaran terlebih dahulu.
MTUC tidak boleh secara selektif meminta kerajaan untuk meratifikasi K87 sedangkan mereka sendiri membantah kepelbagaian kesatuan sekerja yang menjadi teras utama K 87.
Terdapat salah faham bahawa kepelbagaian kesatuan sekerja akan mewujudkan “perpecahan dan pembahagian pergerakan pekerja”.
Sebaliknya, K87 bertujuan untuk melindungi hak pekerja untuk berpersatuan tanpa campur tangan daripada kerajaan dan majikan.
Kementerian percaya bahawa kepelbagaian kesatuan sekerja akan menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan kesatuan dan pekerja-pekerja akan mempunyai lebih banyak pilihan dan boleh memilih kesatuan sekerja terbaik yang diingini untuk mewakili kepentingan mereka.
Kementerian juga percaya bahawa kesatuan yang demokratik dan efektif akan mendapat sokongan pekerja-pekerja dan dengan pindaan kepada Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (APP 1967) dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 (AKS 1959), ia akan membantu meningkatkan kepadatan keahlian kesatuan sekerja di negara ini.
Kementerian terkejut dengan tuduhan MTUC bahawa pindaan ini akan melemahkan kuasa tawar-menawar kesatuan sekerja. Kementerian ingin mengulangi bahawa di bawah cadangan pindaan kepada AKS 1959, pekerja-pekerja boleh membentuk kesatuan umum tanpa terhad kepada industri, tred atau pekerjaan tertentu.
Kesatuan sekerja sedia ada juga boleh meminda perlembagaan untuk membolehkan mereka mewakili lebih ramai pekerja tanpa sebarang sekatan. Ini akan mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih kuat dengan kuasa tawar-menawar yang lebih baik berbanding dengan amalan sekarang yang terlalu mengekang.
Di samping itu, seksyen 26 APP 1967 juga dipinda untuk meningkatkan kuasa tawar-menawar kesatuan sekerja untuk berunding secara bebas dan melaksanakan hak mereka (mogok dan piket) tanpa campurtangan oleh kerajaan. Oleh itu, tuduhan MTUC bahawa pindaan ini akan menjejaskan kuasa tawar menawar kesatuan sekerja adalah tidak berasas.
Mengambil kira kebajikan pekerja dan untuk memudahkan perundingan perjanjian kolektif dengan kepelbagaian kesatuan sekerja di tempat kerja, mekanisme hak berunding tunggal diperkenalkan. Mekanisme ini memberikan fleksibiliti dimana kesatuan sekerja boleh memutuskan di kalangan mereka, kesatuan sekerja yang mempunyai hak berunding tunggal bagi mewakili pekerja dalam perundingan kolektif, atau meminta bantuan daripada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan (KPPP) untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
KPPP dalam menyelesaikan pertikaian berkenaan, hanya bertindak sebagai fasilitator di mana keputusan akhir dibuat oleh pekerja sendiri melalui undi sulit. Ini adalah sejajar dengan prinsip demokratik di mana para pekerja diberi kuasa untuk memilih kesatuan sekerja yang menjadi pilihan untuk mewakili mereka dalam perundingan kolektif.
Tuduhan MTUC
Oleh itu, kenyataan MTUC bahawa majikan dan KSM boleh mempromosikan kesatuan pilihan mereka adalah hanya tuduhan bertujuan untuk menakut-nakutkan.
Bagi kebebasan berpersatuan dan perundingan kolektif berkembang maju, ia memerlukan persekitaran yang kondusif dan rangka kerja perundangan yang bersesuaian yang mana kementerian dengan aspirasi ikhlas menyediakannya melalui pindaan kepada AKS 1959 dan APP 1967.
Selain menerima pakai prinsip kebebasan berpersatuan, cadangan pindaan kepada APP 1967 juga mengandungi klausa lain yang memberi manfaat kepada pekerjapekerja yang tidak disediakan oleh kerajaan sebelumnya.
Antara lain, hak untuk didengar dijamin di mana kes-kes pembuangan kerja yang tidak dapat diselesaikan di Jabatan Perhubungan Perusahaan akan dirujuk ke mahkamah perusahaan tanpa tapisan, membenarkan mahkamah perusahaan mengarahkan gaji kebelakang atau pampasan sebagai ganti kepada pemulihan kerja atau kedua-duanya kepada waris pekerja yang meninggal dunia, pekerja boleh diwakili oleh mana-mana orang atas pilihan mereka semasa proses rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan, meningkatkan perlindungan kepada ahli-ahli kesatuan sekerja yang telah dibuang kerja kerana terlibat dengan kesatuan sekerja, meluaskan dan membenarkan pekerja dalam badan-badan berkanun yang dibuang kerja memfailkan tuntutan pembuangan kerja yang tidak adil di Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Meskipun MTUC membantah cadangan pindaan terhadap APP 1967, MTUC Sarawak telah menyokong kuat cadangan pindaan dan menyifatkannya sebagai suatu “game changer”. Selain itu, terdapat juga komen-komen positif oleh pihak-pihak lain seperti Union Network International-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), The Malaysian Bar, The Association for Community and Dialogue, Labour Law Reform Coalition dan lain-lain.
Semua pihak digesa mengetepikan agenda peribadi masing-masing dan melihat pindaan ini secara positif sebagai satu pakej yang akan memperkasa kesatuan sekerja dalam jangka panjang dan akan memberi manfaat besar kepada golongan pekerja.
Kementerian menggesa semua pihak mengkaji Rang Undang-Undang Perhubungan Perusahaan dengan teliti sebelum membuat komen. Rang undang-undang ini boleh didapati di laman web Parlimen.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.