
Timbalan Yang Dipertuanya, Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata pusat itu yang beroperasi sejak awal Jan lalu tidak pernah memohon kebenaran daripada pihaknya.
“Saya sudah tandatangan surat perintah tutup serta-merta. Semakan kita dapati (pusat) tahfiz ini memang tak pernah mohon.
“Banyak lagi hal lain tak beres, jadi saya keluarkan arahan tutup. Pengusaha bukan tak tahu undang-undang, perlu minta kebenaran untuk beroperasi,” katanya kepada FMT ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, seorang pelajar tahfiz berusia tujuh tahun yang baru mendaftar masuk bulan lepas disahkan meninggal dunia dengan kesan lebam di Pahang.
Menurutnya, tahfiz yang mempunyai 14 pelajar itu turut memiliki hanya seorang guru yang tidak dapat dipastikan kelayakan mengajar.
“Tahfiz ini ada 14 pelajar umur antara 7 tahun hingga 13 tahun di mana empat orang tinggal di asrama termasuk mangsa. Gurunya seorang sahaja dan kami belum dapat sahkan kelayakannya menjadi tenaga pengajar.
“Biasanya guru hafaz al-Quran daripada tahfiz muda-muda cuma tak semua layak menjadi tenaga pengajar, menjalan dan mengurus tahfiz sebab itu kami kaji betul-betul,” kata beliau.
Menurutnya, isu keselamatan premis menjadi keutamaan pihaknya sebelum memberi kelulusan kepada mana-mana pusat tahfiz untuk beroperasi.
“Paling utama soal keselamatan, sebab kami tak mahu ambil risiko seperti kes yang berlaku di Semenyih. Kami mahu pastikan semuanya selamat.
“Sebab kita bimbang membahayakan nyawa orang. Kita tegas kerana banyak kes terbakar. Bersyukur tiada yang melibatkan nyawa sebab itu kita tegas dalam hal ini,” katanya.
Menurutnya lagi, bermula awal tahun ini juga Muip telah menjalankan pemutihan kepada semua pusat tahfiz belum berdaftar yang diberi tempoh sehingga 31 Dis ini.
“(Pusat) tahfiz tak boleh dibuka sewenang-wenangnya. Premis mesti ikut syarat dikenakan dari segi keselamatan. Selepas itu baru kita akan lihat silibus dan kaji untuk daftar.
“Pemutihan ini kami beri tempoh sampai hujung tahun sahaja, mana yang tidak boleh melepasi tahap boleh didaftar, kita akan perintah tutup,” katanya.