Kit Siang: Piagam Muafakat sasar PH selepas usaha Umno takutkan Melayu sebelum PRU14 gagal

Kit Siang: Piagam Muafakat sasar PH selepas usaha Umno takutkan Melayu sebelum PRU14 gagal

Lim Kit Siang berkata perkara itu akan menyebabkan usaha PH untuk mencapai matlamat Malaysia Baru akan lebih sukar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
PETALING JAYA:
Piagam Muafakat Nasional kini menyasarkan untuk memusnahkan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas Umno gagal dalam usahanya menakut-nakutkan pengundi Melayu menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Muafakat Nasional, yang disertai Umno dan PAS, hanya berminat untuk memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan di Putarjaya, dan itu sebabnya wujud pembohongan, berita palsu dan ucapan membenci bahawa Melayu telah hilang kuasa politik, terutama dalam kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Ini sudah tentu satu falasi politik, seperti apa yang terjadi semasa PRu14 – sama ada Najib Razak digulingkan sebagai perdana menteri atau Umno kehilangan kerajaan persekutuan – dan terbukti sepanjang 18 bulan lalu, orang Melayu di Malaysia terus memiliki kuasa politik dalam negara kerana tidak ada cara mereka akan kehilangan kuasa politik mereka.

“Sebelum PRU14, tidak ada seorang pun dalam Umno dan alat propagandanya dapat menjawab soalan ditanya Sasterawan Negara Pak Samad (Samad Said) tentang bagaimana orang Melayu dapat kehilangan kuasa politik jika Umno kalah dalam pilihan raya umu.”

Piagam Muafakat Nasional ditandatangani oleh Umno dan PAS akhir Sept lalu.

Sehubungan itu Lim berkata, jika PH kalah dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov, ia akan membuktikan pembohongan dan berita palsu telah menang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata perkara itu akan menyebabkan usaha PH untuk mencapai matlamat Malaysia Baru akan lebih sukar.

“Jika PH dikalahkan Muafakat Nasional di PRK Tanjung Piai, ia akan melemahkan politik sederhana di Malaysia.

“Ia akan jadi mesej jelas bahawa rayuan terhadap kaum dan agama, pembohongan, berita palsu serta ucapan kebencian diterima. Semakin sukar untuk PH capai matlamat Malaysia Baru,” katanya.

Tegasnya, Melayu telah dibuktikan terus berkuasa dalam negara meskipun PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei 2018.

Menurut Lim, “kita sepatutnya fokus kepada isu yang melibatkan masa depan negara agar terus maju.”

“Dalam 40 tahun lalu, China negara miskin dan mundur tapi hari ini sudah membangun, maju dan makmur. Dengan Vietnam dan Kemboja pun Malaysia kalah.

“Kita patut fokus isu ini bukan dengan menjejaskan kestabilan melalui penyebaran berita palsu, menghasut antara kaum dan agama serta menyebabkan keruntuhan kerajaan PH,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.