
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata orang nombor satu Umno itu telah menghina mahkamah ketika berucap di Tanjung Piai, kelmarin.
“Zahid perlu minta maaf atas ucapannya di PRK Tanjung Piai kerana menghina mahkamah dengan kenyataan tidak bertanggungjawabnya, yang menyerang integriti majistret.
“Dalam ucapannya, Zahid mempertikaikan keputusan mahkamah majistret Johor Bahru yang membebaskan pemandu terbabit.
“Beliau bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri. Bagaimana boleh bertindak cuai seperti ini?,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, dalam ucapannya, Zahid menyifatkan kerajaan hari ini mengamalkan pilih kasih dengan mengambil beberapa contoh termasuk keputusan mahkamah di Johor Bahru itu.
“Apabila lapan budak-budak naik basikal dilanggar seorang wanita, dia dilepaskan seolah-olah tak ada bukti.
“Budak-budak itu mati dah, dah jadi arwah,” katanya yang turut menyentuh kes pegawai bomba, Allahyarham Adib Kassim.
Dalam pada itu, Lim turut menuntut calon BN, Wee Jeck Seng menegur Zahid kerana telah menghina mahkamah.
“Jeck Seng perlu berani tegur dan minta Zahid tarik balik kenyataannya serta minta maaf.
“Ini ujian untuk tengok sama ada Jeck Seng berani bercakap benar dan adil tanpa rasa takut seperti dijanjikan nak kembalikan semak dan imbang dalam sistem politik,” katanya.