Agong pamer prihatin, periksa 2 kemalangan di lokasi berbeza

Agong pamer prihatin, periksa 2 kemalangan di lokasi berbeza

Sultan Abdullah dilihat sanggup turun daripada kenderaannya malah melangkah penghadang jalanraya semata-mata mahu bertanya keadaan mangsa kemalangan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali lagi mempamerkan sikap keprihatinan baginda setiap kali bertembung dengan kemalangan di jalanraya.

Dan hari ini berlaku dua kemalangan membabitkan kereta berlaku di Cyberjaya dan susur masuk Plaza Tol Mex Putrajaya.

Baginda sanggup turun daripada kenderaannya bagi memeriksa keadaan mangsa kemalangan di dua lokasi berbeza itu.

Berdasarkan perkongsian di laman Instagram Istana Negara, Sultan Abdullah sebelum itu dilaporkan dalam perjalanan pulang daripada Mesyuarat Pra Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi dua video yang dikongsi dalam Instagram itu, kedua-dua kemalangan berlaku di laluan bertentangan berbanding laluan yang dilalui Sultan Abdullah, namun ia tidak menghalang baginda untuk bertanyakan keadaan mangsa.

Menerusi video pertama yang dikongsi, baginda turun dari kenderaan untuk bertanyakan mangsa kemalangan di Cyberjaya membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios, dipercayai terbabas akibat jalan licin.

Dalam video itu, baginda dilihat melangkah penghadang besi pembahagi jalan untuk ke laluan bertentangan bagi bertanya khabar mangsa kemalangan, sambil diiringi pegawai istana dan pegawai pengiringnya.

Menerusi rakaman video kedua pula, baginda turun dari kenderaan untuk bertanya keadaan mangsa kemalangan berhampiran Plaza Tol MEX, membabitkan sebuah kereta Honda City, dipercayai turut terbabas akibat jalan licin.

Mangsa kemalangan kedua juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk meminta kebenaran bergambar bersama baginda sambil menyatakan bukan mudah untuk bertemu dengan Sultan Abdullah.

Menerusi laman sosial itu, baginda turut mengingatkan semua pemandu supaya berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelak kemalangan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.