
Matthew Simon Craib diculik awal pagi 30 Okt lalu ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai mesyuarat perniagaan.
Penculik menuntut wang tebusan AS$1 juta (RM4 juta) daripada penyelia Craib, yang dikenal pasti oleh polis sebagai “P”, yang memberitahu penculik yang dia hanya sanggup memberi mereka AS$900,000.
Polis menahan penculik di Kemayoran, Jakarta Pusat kemudian, pada hari ketika mereka hendak mengambil tebusan terbabit, kata jurucakap polis Jakarta, Ketua Komisioner Argo Yuwono, lapor Jakarta Globe.
Empat pegawai polis, yang semuanya telah dikenal pasti dengan menggunakan inisial mereka – polis wanita “N.P.U” dan anggota polis Brigadier “J.J.B”, Brigadier “H” dan Brigadier “S.B.S” – kini ditahan di ibu pejabat polis Jakarta.
Dua orang awam terlibat dalam penculikan itu telah dikenal pasti sebagai “G” dan teman wanitanya, “N.A”.
Polis berkata “G” adalah rakan sekerja Craib.
Dia telah merancang penculikan dengan teman wanitanya, yang menghubungi Brigadier “J.J.B” dari unit jenayah siber polis untuk menyertai rancangan itu.
“J.J.B” kemudian bertanya kepada teman wanitanya, Brigadier “N.P.U”, seorang petugas dari pasukan antidadah polis Jakarta Timur, yang kemudian meminta rakan-rakannya, Brigadier “H” dan Brigadier “S.B.S” untuk membantu mereka.
Laporan media itu berkata, peranan “J.J.B” dalam penculikan itu adalah mengekori Craib dan mengemas kini penculik yang lain di mana dia berada.
Kereta Craib diserang oleh “N.P.U”, “H” dan “S.B.S” di Jalan Lingkaran Luar Jakarta di Tangerang, Banten.
Polis mula mencari Craib setelah menerima laporan daripada rakannya bahawa ahli perniagaan itu tidak pernah pulang ke rumah selepas pertemuannya pada 29 Okt.
Penculik menghadapi hukuman maksimum penjara 15 tahun jika didapati bersalah.