
Pengerusi MIER, Kamal Salih berkata, pihaknya sedang menilai daya maju cadangan tawaran pembelian RM50 bilion daripada kumpulan individu dari Malaysia.
“Kajian itu dijangka selesai pada akhir tahun. Kami akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan bagi pihak rakan kerjasama apabila ia siap,” katanya di luar wacana kecemerlangan bertemakan “Shared Prosperity Economy: Lessons and Measures” di sini, hari ini.
Wacana itu anjuran bersama Akademi Profesor Malaysia dan MIER.
Kamal berkata, penetapan kos bagi pembiayaan cadangan baru itu lebih rendah berbanding lain yang mahu meningkatkan bon untuk membiayai pengambilalihan berkenaan.
Tanpa mendedahkan butiran individu terlibat, beliau berkata, tawaran itu dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar tol.
“Kerajaan dalam dilema kerana berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk menghapuskan tol. Bagi berbuat demikian, mereka perlu menjadikannya hak awam atau menswastakan tol (lebuh raya).
“Bagaimanapun, kerajaan tidak mampu membeli balik atau melepaskan pegangan disebabkan pelaburan tinggi.”
Kamal berkata, ada ramai rakyat Malaysia yang kaya, terutamanya yang mempunyai aset di luar negara boleh mengambil alih PLUS dan mengurangkan kadar tol untuk menampung kos penyelenggaraan.
“Wang kita di luar negara berjumlah RM1 trilion, hampir bersamaan hutang kita. Jika wang itu dapat dikembalikan, sebahagiannya boleh digunakan untuk mengambil alih beberapa aset ini.”
Beliau berkata, sumber ini perlu dipulangkan kepada negara untuk menjana perindustrian baru bagi memacu ekonomi dan memberi impak baik kepada rakyat.
Katanya, ini sejajar Pelan Penyelidikan Crouching Tiger MIER bagi 2019 hingga 2023 yang terdiri daripada tiga matlamat utama, iaitu menangani ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, mewujudkan ekonomi progresif, iaitu bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan serta untuk negara muncul sebagai ekonomi utama di Asia.