Malaysia komited laksana pembangunan mampan, kata Dr M

Malaysia komited laksana pembangunan mampan, kata Dr M

Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam aspek tersebut kerana ia memerlukan pembiayaan kewangan besar yang melebihi kemampuan kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan dengan menegaskannya sebagai agenda utama kepada dasar dan polisi kerajaan.

Dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia 2019 hari ini, beliau berkata kemampanan dan inklusiviti menjadi ciri utama pembangunan Malaysia selama ini.

“Sejak memperoleh kemerdekaan pada 1957, Malaysia secara konsisten mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam rancangan pembangunan kami.

“Malaysia telah mengalami pertumbuhan dan berkembang baik sejak itu,” katanya.

SDG ialah agenda global yang dicetuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertindak sebagai pelan tindakan sesuatu negara bagi menjamin masa depan mampan untuk rakyatnya.

Mahathir juga berkata dasar ekonomi dan pembangunan baru negara iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WBK) 2030 yang bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kumpulan etnik dan wilayah geografi adalah sejajar dengan matlamat SDG.

Ujar beliau, WBK 2030 akan memastikan pembangunan inklusif tanpa ada yang ketinggalan.

“Malaysia baru ditakrifkan oleh set polisi yang baru bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, keharmonian sosial, keterangkuman ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan tadbir urus yang baik.

“Dasar-dasar kerajaan akan mengatasi keperluan bawah 40 (B40) dan pertengahan 40 (M40), terutama menerusi penglibatan dan perundingan lebih aktif dengan kumpulan-kumpulan ini, dengan matlamat utama untuk mencapai pertumbuhan makroekonomi yang meresap dan direalisasikan sehingga peringkat bawahan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata untuk mencapai SDG termasuk menamatkan kemiskinan, meningkatkan kesihatan global, memastikan pendidikan menyeluruh dan mengurangkan perubahan iklim menjelang tahun 2030 akan memerlukan pembiayaan yang besar.

“Keperluan kewangan ini dijangka melebihi kemampuan kerajaan dan ia tidak dapat dipenuhi dengan hanya bantuan pembangunan rasmi,” katanya, sambil menambah peranan sektor swasta sangat penting dalam aspek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.