
Hakim, Mariana Yahya turut memutuskan Tian Chua boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Kerusi Parlimen Batu dimenangi pelajar undang-undang, P Prabakaran, yang bertanding sebagai calon bebas sebelum menyertai PKR selepas memenangi kerusi itu.
Pencalonan Prabakaran dipersetujui Pakatan Harapan atas ketiadaan Tian Chua.
Tian Chua memfailkan saman pemula pada 26 April lalu untuk memohon mahkamah mengisytiharkan beliau layak bertanding dalam PRU dan pilihan raya kecil.
Naib presiden PKR itu turut memohon perisytiharan tidak adil untuk menafikan kelayakannya dan hak untuk bertanding berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menolak pencalonan Tian Chua kerana beliau hilang kelayakan akibat didenda RM2,000 selepas disabitkan bersalah menghina seorang anggota polis lima tahun lalu.
Perlembagaan Persekutuan membatalkan kelayakan bertanding sebagai calon pilihan raya selama lima tahun selepas dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Mariana yang menyampaikan keputusan itu di kamarnya berkata, calon hanya boleh hilang kelayakan jika didenda RM2,001 dan ke atas.
Tian Chua berkata, keputusan hari ini adalah pengesahan jelas keputusan pegawai pengurus pilihan raya SPR, Anwar Mohd Zain menolak kertas pencalonannya tahun lalu menyalahi undang-undang.
“Saya kini boleh bertanding dalam pilihan raya, malah layak dilantik sebagai anggota Dewan Negara.”
Katanya, beliau memfailkan perisytiharan tahun ini demi prinsipnya dan untuk menunjukkan berlaku penyalahgunaan kuasa institusi oleh kerajaan terdahulu.
“Ia adalah helah politik untuk menafikan saya bertanding dan berkhidmat sebagai anggota badan perundangan persekutuan,” katanya sambil menambah badan kerajaan perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan Perlembagaan.
Peguam Tian Chua, Gurdial Singh Nijar berkata, ia adalah tindakan undang-undang berbaloi selepas anak guamnya mengetepikan samannya tahun lalu.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad dan Maisarah Juhari mewakili SPR sebagai responden.
Tian Chua kembali ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan kerana keputusan terdahulu kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, kedua-duanya menjatuhkan denda RM2,000 untuk dua kesalahan, tidak menafikan kelayakannya untuk bertanding sebagai calon.
Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Pandikar Amin Mulia turut menyatakan status Tian Chua sebagai ahli Parlimen tidak terjejas.
Tian Chua berkata, beliau bertanding dan memenangi kerusi Batu pada PRU 2013 tanpa sebarang bantahan.
Katanya, pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi sama pada PRU14 tahun lalu gagal mengambil kira semua fakta itu untuk pertimbangan dan menyebabkan pencalonannya ditolak.
Pada 16 Julai tahun lalu, Tian Chua menarik balik rayuan untuk menentukan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya selepas Mahkamah Rayuan memutuskan tiada pindaan terhadap rekod rayuan dibenarkan.
Tian Chua meminta mahkamah menentukan status undang-undangnya untuk bertanding walaupun disabitkan atas dua kesalahan.