
Ketua Polis Daerah Semporna, Sabarudin Rahmat berkata, laporan perubatan mengenai kecederaan wanita berusia 35 tahun itu turut diserahkan kepada timbalan pendakwa raya yang akan menentukan sama ada enam suspek terbabit akan didakwa.
“Enam suspek berusia 18 dan 62 tahun sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan timbalan pendakwa raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa mendakwa dia diserang dengan batang besi dan kerusi ketika hendak memulakan kelas pada 8 pagi 21 Okt lalu.
Insiden itu tersebar di media sosial selepas dimuat naik pengguna akaun Facebook, Pejuang Bonok yang dikongsi sebanyak 2,500 kali dan mendapat 1,900 respons netizen.
Ia seterusnya mendapat perhatian Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman yang menggesa mangsa membuat laporan polis.
Beliau memberi jaminan polis akan menyiasat catatan Facebook itu.
Difahamkan, seorang daripada suspek yang merupakan pembantu guru mengeluarkan pelajar dari kelas dan mengunci bilik darjah sebelum menyerang mangsa.
Mangsa mendakwa dua suspek yang dipercayai anak kepada pembantu guru itu bertindak kasar terhadapnya dan hartanya seperti gelang emas dan wang diambil.