Kemelut rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila Mohd Noor.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur menetapkan 4 Disember ini untuk melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes perceraian mereka.
Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamaian (JKP) yang dilantik sebelum ini.
Hakam proses diperuntukkan mengikut Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Menerusi proses itu, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.
Dalam prosiding itu peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz manakala peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Noor Nabila.
Pada 11 September lalu, mahkamah memerintahkan satu jawatankuasa pendamai (JKP) dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan ini.
Bagaimanapun, Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad pula memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya itu pada 30 September lalu.
Bagi prosiding JKP, Sharnaaz telah melantik kakaknya iaitu Dr. Sherrini Ahmad Basir Ahmad sebagai wakil manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya Abdul Halim Khan.
Dalam pada itu, bagi permohonan nusyuz yang difailkan Sharnaaz terhadap Noor Nabila, mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.
Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia setahun.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]