Hakim ketuai inkues Beng Hock didakwa rasuah esok

Hakim ketuai inkues Beng Hock didakwa rasuah esok

SPRM mendapat lampu hijau daripada peguam negara untuk mendakwa Azmil Muntapha Abas, seorang timbalan pendakwa raya dan peguam atas dakwaan rasuah.

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas akan didakwa dengan pertuduhan rasuah esok, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Agensi antirasuah itu berkata, ia turut mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dua individu lain iaitu Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad dan peguam, Noor Amirul Nazreen Anas.

Ketiga-tiganya akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, pagi esok.

Pada Jan 2011, Azmil mengetuai prosiding inkues ke atas kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, di dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Beliau kemudiannya membuat keputusan terbuka dengan berkata, kematian Teoh bukan dibunuh atau membunuh diri.

Mahkamah Rayuan pada Sept 2014 membatalkan keputusan terbuka itu dan memutuskan kematian Teoh akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut mengarahkan siasatan lebih terperinci dijalankan ke atas kematian Teoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.