Prestasi PH, kerjasama Umno-PAS punca pengundi Cina Tg Piai berbelah bagi

Prestasi PH, kerjasama Umno-PAS punca pengundi Cina Tg Piai berbelah bagi

Ada di kalangan pengundi Cina di Pekan Nenas yang marah dengan kerajaan kerana isu tulisan jawi dan UEC.

Keadaan di pasar pagi Pekan Nanas di Parlimen Tanjung Piai.
PEKAN NANAS:
Pengundi Cina di sini berbelah bagi memilih ahli Parlimen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas lebih setahun setengah menjadi kerajaan persekutuan dan kerjasama Umno-PAS.

Calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng yang pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum 2008 dilihat mempunyai kelebihan kerana sebahagian pengundi Cina tidak berpuas hati dengan kerajaan PH akibat pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang belum diiktiraf Putrajaya.

Seorang pengundi di Pekan Nanas, Tan Jun Lim, 62, menjangkakan lebih 50% pengundi Cina akan memilih calon pembangkang disebabkan mereka marah dengan kerajaan atas isu tulisan jawi dan UEC.

“Mereka banyak tak suka kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan mungkin akan banyak lari (kepada pembangkang),” katanya kepada FMT ketika ditemui di pasar pagi di sini semalam.

Tan Jun Lim.

Tan berkata, beliau berbelah bagi kerana PH dan BN “tidak bagus”.

Katanya, beliau tidak membenci calon BN, tetapi tidak suka bekas perdana menteri, Najib Razak, selain kerjasama antara Umno dengan PAS.

Beliau mengingatkan PH mungkin tewas jika ramai pengundi Melayu memihak kepada pembangkang.

“PH ada kelebihan sedikit (untuk menang), tetapi perlu lihat (fokus) kepada pengundi Melayu.”

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi yang terdiri daripada 57% orang Melayu, diikuti Cina (42%) dan India (1%).

PRK kali ini menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan calon PH, BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang, Md Farid Md Rafik daripada PPBM pada 21 Sept lalu.

Wee tewas kepada Farid pada PRU14 dengan perbezaan 524 undi.

Keturunan calon bukan ukuran

Ku Hatey, 73, berkata keturunan calon bukan ukuran baginya kerana beliau lebih mementingkan pihak yang boleh membantu rakyat.

Beliau berkata, wakil rakyat harus berkebolehan dan mampu memberi kebaikan kepada semua kaum.

Cheong Pick Lai.

“Kalau calon itu bagus, kita semua pun senang. Ada isu lebih mustahak yang patut diselesaikan daripada terus bertelagah mengenai tulisan jawi dan UEC.

“Tetapi, saya tengok separuh undi Cina akan dapat kepada parti pembangkang seperti BN dan Gerakan.”

Seorang lagi pengundi, Cheong Pick Lai, 52, “pening” tidak tahu akan mengundi parti mana, walaupun beliau mengenali ketiga-tiga calon PH, BN dan Gerakan.

Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi bukan isu besar kerana beliau suka mempelajari banyak bahasa.

Beliau tidak menilai calon berdasarkan keturunan dan parti yang diwakili mereka kerana keutamaannya ialah calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat.

“Kita mahu lihat dia punya kerja. Tak kisah apa kaum dan dari parti mana,” katanya.

Pilih calon bervisi luas

Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Goh, 60, berkata beliau tidak rasis dan akan memilih calon Melayu yang boleh menerima kepelbagaian penduduk.

Katanya, tidak sukar untuknya membuat pilihan pada 16 Nov ini walaupun terdapat enam calon kerana beliau dan rata-rata pengundi setempat mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial serta akhbar.

“Kita mahu memilih pemimpin yang mempunyai visi yang luas.

“Mana pemimpin yang bagus, kita undi dia. Ini masa depan kita, untuk anak cucu kita. Kita tak mahu dalam 10 tahun, tukar calon 10 kali.”

Goh.

Goh berkata, kerajaan dilihat sering membuat keputusan terburu-buru, termasuk langkah memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular.

“Saya rasa kebanyakan keputusan kerajaan hari ini dilakukan tanpa rundingan dan secara tiba-tiba, tiada timbang rasa dan memikirkan hati rakyat.”

Beliau berkata, pengundi memahami strategi kerajaan memberi pelbagai peruntukan pada pilihan raya umum atau PRK.

“Bagi peruntukan perkara biasa, kerajaan dulu juga sama, tetapi janganlah bila kita sudah beri undi baru dapat ‘gula-gula’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.