Lesen lombong bauksit dikeluar Januari depan, kata Xavier

Lesen lombong bauksit dikeluar Januari depan, kata Xavier

Kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit kini perlu mematuhi SOP baru lebih ketat yang dipersetujui bersama oleh kerajaan persekutaun dengan kerajaan Pahang.

Tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang yang bermula 15 Jan 2016 tamat pada 31 Mac tahun ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Putrajaya menjangkakan pemberian lesen melombong bauksit akan diluluskan antara akhir Disember ini dan awal Januari 2020 selepas kerajaan mengenal pasti beberapa syarikat yang berminat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata setakat ini terdapat tiga syarikat yang memohon sejak permohonan dibuka semula awal tahun lalu.

“Syarikat-syarikat tersebut adalah yang pertama dan baru juga. Mereka semua syarikat tempatan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, dalam jawapan balas di Dewan Rajyat, Xavier berkata, kementeriannya memerlukan tempoh enam bulan bagi memantau prestasi syarikat kontraktor dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baru perlombongan dan pengeksportan bauksit.

Katanya, jika dalam tempoh itu syarikat terbabit tidak berkemampuan, maka tindakan sewajarnya akan diambil, termasuk mempertimbangkan penamatan lesen kontraktor terlibat.

“Kita akan gunakan SOP dengan cara yang ketat. Tetapi mereka kena ikut SOP yang ditetapkan oleh kita. Kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang telah putuskan sesiapa sahaja yang memohon lesen, maka mereka perlu mengikut SOP yang ada.

“Jika tidak, kita (kementerian) akan menamatkan (kontrak) mereka serta merta…sebab itu kita beri enam bulan untuk lihat SOP digunakan sepenuhnya.”

Pada Sept lepas, Xavier dilaporkan berkata, SOP berkaitan perlombongan bauksit sudah dimuktamadkan selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail di Putrajaya.

Bagaimanapun, setakat ini, Wan Rosdy belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan SOP terbabit dan kaedah yang perlu diikuti operator untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang.

Tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang yang bermula 15 Jan 2016 tamat pada 31 Mac tahun ini dan tidak disambung semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.