KPDNHEP rampas gula bernilai RM2.45 juta di Johor

KPDNHEP rampas gula bernilai RM2.45 juta di Johor

Ia selepas sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat menyimpan barangan kawalan itu melebihi had yang dibenarkan.

KPDNHEP Johor merampasi 1,000 metrik gula bernilai RM2.45 juta dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Sri Gading. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas gula bernilai RM2.45 juta dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat Khamis lalu kerana menyimpan barangan kawalan itu melebihi had yang dibenarkan.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata nilai rampasan berkenaan membabitkan sitaan sejumlah 1,000 metrik tan gula dan merupakan rampasan gula pertama bagi 2019 di negeri ini.

“Dalam operasi berkenaan, kita mendapati gudang yang beroperasi sekitar 10 tahun itu menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had simpanan yang dibenarkan oleh kementerian.

“Had simpanan sepatutnya tidak melebihi 2,000 metrik tan gula, namun kita mendapati pengusaha menyimpan sebanyak 3,000 tan metrik gula jadi berlaku lebihan sebanyak 1,000 tan metrik gula bersamaan satu juta kilogram gula,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dibuat susulan daripada operasi penyitaan berkenaan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had simpanan yang dibenarkan oleh kementerian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) dan seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Individu boleh didenda tidak melebihi satu juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat, denda tidak melebihi dua juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi lima juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya lagi.

Hairul turut menasihatkan agar pembekal atau pemborong supaya menyimpan barang kawalan mengikut lesen yang dikeluarkan atau kebenaran pihak kementerian.

“Kami akan meneruskan pemeriksaan dan memantau dari semasa ke semasa kerana percaya masih lagi ada kes seperti ini berlaku dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau laporan boleh membuat aduan di portal KPDNHEP https://e-aduan.pdnhep.gov.my atau menghubungi Call Center di talian 1800-886-800.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.