Belanjawan Selangor 2020: Peruntukan kesihatan naik, tebatan banjir, saliran turun

Belanjawan Selangor 2020: Peruntukan kesihatan naik, tebatan banjir, saliran turun

Belanjawan Selangor 2020 kesinambungan belanjawan tahun ini.

MB Amirudin Shari umum peruntukan bagi Skim Peduli Sihat naik kepada RM42.5 juta manakala bagi projek tebatan banjir dan saliran turun kepada RM5.2 juta. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Pembentangan Belanjawan Selangor 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Amirudin Shari petang tadi menunjukkan ianya kesinambungan belanjawan tahun ini.

Lima teras yang ditekankan dalam belanjawan kali ini tidak berubah, kecuali pengurangan dan penambahan peruntukan dalam polisi-polisi yang dilaksanakan bawah teras masing-masing.

Lima teras tersebut ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan aspek sosial, meliputi pelaksanaan program seperti Smart Selangor, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Rumah SelangorKu dan Skim Peduli Sihat (SPS).

Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor hari ini membentangkan belanjawan RM2.33 bilion untuk 2020.

Penambahan

Melalui pembentangan hari ini, didapati empat polisi bawah teras-teras berkenaan menerima penambahan peruntukan berbanding tahun ini, manakala tiga polisi mengalami pengurangan peruntukan.

Peruntukan dinaikkan bagi bantuan sekolah, iaitu RM26 juta berbanding RM24 juta tahun ini, dan bagi pembangunan sekolah tahfiz dan maahad integrasi sains dan teknologi, termasuk program “Fast Track SPM Huffaz” untuk pelajar sekolah tahfiz, iaitu RM237.89 berbanding RM1.940 juta tahun ini.

Peruntukan dinaikkan juga untuk SPS, iaitu RM42.5 juta berbanding RM10 juta tahun ini, dan bagi KISS, iaitu RM62 juta berbanding RM50 juta tahun ini.

Pengurangan

Peruntukan dikurangkan bagi projek tebatan banjir dan saliran, iaitu RM5.2 juta berbanding RM89.4 juta tahun ini.

Peruntukan bagi pembangunan projek bekalan air juga dikurangkan, iaitu RM116.5 juta berbanding RM120 juta tahun ini.

Belanjawan Selangor 2020 juga mahu mengurangkan pembelian rumah bagi Skim Smart Sewa, program yang memudahkan rakyat memiliki rumah. Ia bercadang untuk membelanjakan hanya RM20 juta untuk membeli unit Rumah Selangorku, berbanding RM50 juta tahun ini.

Teks penuh ucapan boleh didapati di laman web amirudinshari.com bermula jam 5 petang pada hari sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.