Sertai JDT jika nak jadi juara, kata TMJ

Sertai JDT jika nak jadi juara, kata TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menepis persepsi buruk mendakwa minit permainan terhad seorang pemain JDT akhirnya akan 'membunuh' karier mereka.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) mendengar penerangan Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John ketika melawat ibu pejabat AFC pada Rabu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tempat terbaik untuk pemain tempatan yang memburu kejayaan serta mempunyai impian besar sebagai pemain bola sepak, kata pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mengakui ada segelintir pihak cuba menimbulkan persepsi buruk dengan menakut-nakutkan minit permainan terhad seorang pemain jika bersama JDT yang akhirnya akan “membunuh” karier mereka.

Namun, katanya, setiap pemain yang dilamar skuad Harimau Selatan itu perlu bekerja keras mendapatkan minit permainan di atas padang, selain membuktikan kemampuan mereka sebelum layak bergelar pemain skuad utama.

“Kalau nak main setiap perlawanan pergi PKNP FC dan Felda United. Anda akan dapat kesebelasan pertama bola sepak setiap perlawanan,” katanya selepas melawat ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu.

“Tetapi, jika anda mahu menjadi juara, sertailah JDT. Peluang tinggi untuk menang, peluang tinggi untuk menambah lagi trofi dalam almari awak dan pada masa sama awak mendapat pendedahan baik bermain dalam ACL (Liga Juara Asia AFC).

“Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, awak perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang menjadikannya seorang pemain bola profesional.

“Tetapi, kalau sebagai pemain dan tak nak bertarung untuk dapatkan tempat, jadi awak tidak akan menjadi baik, pasal awak (pemain) akan berada dalam kedudukan selasa.”

Tunku Ismail menjadikan beberapa pemain muda yang kini bersama skuad kebangsaan, antaranya penyerang negara, Muhammad Safawi Rasid sebagai contoh bagaimana JDT memberi peluang kepada pemain yang sedang meningkat naik.

TMJ turut menjadikan pemain tengah, Muhammad Afiq Fazail sebagai contoh tepat pemain berpotensi mengalami peningkatan prestasi hasil pengalaman beraksi bersama JDT.

“Saya bawa Safawi ketika beliau berusia 19 tahun dan kini beliau bermain untuk setiap perlawanan…Adam Nor Azlin (pertahanan) kini mendahului para senior di sana dan bermain dalam ACL…Safawi Rasid dan Akhyar (Muhammad Akhyar Abdul Rashid) bermain dalam ACL.

“Dulu ada orang kenal Afiq Fazail?…tetapi dia bermain untuk tempatnya…dekat tengah tu kita ada Natxo (Natxo Insa), kita ada Harris (Hariss Harun) dan yang lain juga, tetapi kerana dia bertarung untuk tempat dalam kesebelasan utama, hari ini dia menjadi semakin baik hingga dipanggil peringkat kebangsaan.”

JDT meraih keseluruhan 13 gelaran di peringkat domestik dan Asia sejak 2013 dengan pencapaian tertinggi menjuarai Piala AFC 2015, selain melakar rekod gemilang mempertahankan kejuaraan Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut.

Selain rekod kejuaraan, JDT meletakkan kepentingan kemudahan latihan dan pemulihan mengikut prosedur sains sukan sebagai keutamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.