Peguam dakwa Singapura dera banduan Malaysia secara sistematik

Peguam dakwa Singapura dera banduan Malaysia secara sistematik

Lawyers for Liberty menggesa Putrajaya menghantar wakil untuk melihat keadaan dan sel banduan Malaysia di Penjara Changi.

LFL mendakwa berlaku penyeksaan dan pelanggaran piawaian penjara bagi banduan Malaysia di Penjara Changi.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Putrajaya membantah pihak berkuasa Singapura yang didakwa melakukan “penderaan sistematik” ke atas beberapa banduan hukuman mati dari Malaysia di Penjara Changi, dengan menempatkan mereka dalam kurungan berasingan kecil dan gelap yang hanya mempunyai sedikit pengudaraan.

“Ini mengingatkan kita kepada penyeksaan pada zaman penjajahan Jepun. Dalam sel yang kecil ini, rakyat Malaysia dikurung selama 23 jam setiap hari,” kata penasihat LFL, N Surendran yang memberitahu maklumat itu disampaikan keluarga banduan.

Katanya, banduan dipindahkan dari sel mereka sejak bulan lalu dan “ditahan dalam sel segi empat kecil yang berukuran hanya tiga langkah biasa pada setiap sisi”, yang didakwanya ialah langkah untuk “melakukan penderitaan maksimum”.

Beliau berkata, sel itu hanya berukuran kira-kira empat kaki pada setiap sisi dengan tandas dan mandi turut dilakukan dalam sana yang menyebabkan ruang hidup bertambah kecil.

“Ia seperti ditahan dalam sebuah kotak. Banduan terpaksa tidur dalam keadaan bongkok kerana mereka tidak dapat meregangkan badan ketika tidur.”

FMT sedang mendapatkan respons daripada pihak berkuasa penjara Singapura.

LFL yang mendakwa ia menerima pelbagai pengesahan berhubung dakwaan itu, berkata pihak berkuasa Singapura melanggar norma hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Palang Merah yang mencadangkan saiz sel sekurang-kurangnya perlu berukuran 5.4 meter persegi.

“Sel banduan hukuman mati di Changi tidak sampai satu pertiga daripada saiz minimum Palang Merah,” katanya sambil menambah banduan Malaysia disasarkan mengikut “corak penyeksaan dan kelakuan berniat jahat” terhadap mereka.

“Ia juga penting untuk kerajaan Malaysia segera menghantar wakil untuk menemui banduan itu sendiri dan memeriksa keadaan dalam sel hukuman mati.”

Sebelum ini, Surendran yang mewakili banduan Malaysia dijatuhkan hukuman mati di Singapura mendakwa kerajaan negara jiran itu bersikap “dwistandard” dalam menyasarkan rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati kerana kesalahan menyeludup dadah.

Beliau turut mendakwa peguam dilarang melawat anak guam mereka di penjara.

Katanya, beliau sendiri tidak dibenarkan berjumpa anak guamnya, termasuk Pannir Selvam Pranthaman, banduan hukuman mati dari Malaysia yang diberikan penangguhan hukuman pada Mei lalu.

Kerajaan Singapura menafikan dakwaan itu dan mempertahankan hukuman mati sebagai cara berkesan untuk menangani kesalahan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.